Teater Datuk Lat-Kampung Boy kebanggaan negeri Perak - Utusan Malaysia

Teater Datuk Lat-Kampung Boy kebanggaan negeri Perak

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim bergambar bersama pelakon teater Datuk Lat-Kampung Boy di Auditorium Kompleks JKKN Perak di Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pementasan teater Datuk Lat-Kampung Boy selama tiga hari bermula Jumaat lalu di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini, merupakan penghormatan khas kepada Pe­nerima Anugerah Seniman Negara Kesembilan, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Datuk Lat.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, Lat merupakan ikon negara yang berjaya membawa budaya dan identiti Malaysia ke persada antarabangsa.

“Pementasan karya tersebut merupakan satu kebanggaan besar kepada negeri Perak. Karya teater berasaskan komik realisme itu bukan sekadar mengangkat tokoh seni tersohor malah membawa nilai seni yang tinggi melalui penterjemahan visual yang dekat dengan jiwa masyarakat.

“Kami berharap karya ini menjadi medium penting untuk menyemai nilai budaya dalam kalangan penonton selaras aspirasi Malaysia Madani,” katanya selepas pementasan kelmarin.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menonton teater berdurasi satu jam dan 45 minit itu.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Persembahan menampilkan pelakon hebat seperti Taiyuddin Bakar, Safura Ya’cob dan Ilya Senario.

Mohd. Amran berkata, JKKN berbesar hati menyediakan platform berskala besar bagi memperkukuh kegiatan teater dan membangunkan khalayak baharu.

“Selain persembahan utama, program tiga hari itu turut diserikan aktiviti sampingan se­perti Klinik Seni Budaya, Klinik Teater Kanak-kanak, sesi santai ‘Ate Moh Nyembang’ serta jualan makanan bagi memeriahkan suasana dan mendekatkan masyarakat dengan ekosistem seni budaya,” katanya.

Pementasan teater berprestij itu dianjurkan MOTAC melalui JKKN Perak dan Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP) de­ngan kerjasama kerajaan negeri serta Yayasan Hasanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN