KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Adriana Adnan, 30, kesal dengan tindakan segelintir pelakon meningkat naik yang menyusahkan ramai pihak kerana sering datang lambat ketika bekerja.
Katanya, sikap tersebut tidak sepatutnya dijadikan amalan kerana mendatangkan masalah dan membebankan ramai pihak.
“Pengalaman ini berlaku kepada sahabat saya yang juga pengarah sebuah filem baharu. Dia terpaksa melayan masalah datang lambat sekumpulan pelakon ini.
“Lebih teruk lagi apabila pelakon-pelakon tersebut memberi pelbagai alasan tanpa rasa bersalah dan tak minta maaf.
“Saya rasa sikap datang lambat sampai membuatkan orang lain menunggu lama ini tidak sepatutnya dijadikan amalan lebih-lebih lagi dalam hal membabitkan pekerjaan,” katanya.
Dalam masa yang sama, pelakon drama Impiana: Karma ini berkata dia tidak akan segan silu untuk menegur sikap pelakon yang suka datang lambat sekiranya dia duduk di kerusi pengarah atau penerbit.
“Saya mungkin akan tegur mereka secara berdepan. Sikap suka datang lambat ini tak boleh dibiarkan.
“Dan sekiranya masalah datang lambat itu disebabkan hal kecemasan sekalipun, ia perlu dimaklumkan agar tidaklah orang lain tertunggu-tunggu,” kongsinya. – UTUSAN









