Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan menegaskan komitmennya tinggi dalam memastikan kawasan Hulu Langat terus menikmati pembangunan seimbang serta kemudahan awam yang lebih baik selaras dengan pertumbuhan pesat penduduk dan pembangunan perumahan di daerah itu.
Beliau yang menyandang jawatan itu sejak Disember 2022 berkata, antara perhatian utama ketika ini adalah isu berkaitan banjir, keperluan pendidikan, infrastruktur jalan raya, kemudahan kesihatan dan keselamatan, selain pembangunan kawasan pelancongan.
Menurut Mohd. Sany, 46, yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah, penyelesaian isu banjir perlu dilaksanakan melalui pendekatan jangka pendek dan jangka panjang.

Beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Roadcare memastikan longkang serta sistem perparitan dibersihkan secara berkala bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
“Bagi jangka pendek, kerja cuci gali untuk mengeluarkan pasir dan batu perlu digiatkan memandangkan banyak sungai semakin cetek, terutamanya di Kampung Sungai Serai, Dusun Tua dan Sungai Lui.
“Untuk jangka panjang, kerajaa meluluskan hampir RM512 juta bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Langat. Projek kini dalam fasa reka bentuk oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan dijangka dibuka tender pada suku pertama tahun depan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kekurangan Sekolah dan Keperluan Pembinaan SMK Baharu
Selain itu, Sany yang juga bekas Ketua Pemuda Amanah dari 2016 hingga 2018 berkata, isu pendidikan turut menjadi tumpuan, khususnya di pekan Semenyih yang hanya mempunyai sebuah sekolah menengah dengan jumlah pelajar hampir 3,500 orang.

“Dengan pertambahan kawasan perumahan baharu, ada keperluan mendirikan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Semenyih. Di Kajang, projek pembinaan SMK di Prima Saujana sudah mempunyai tapak namun dimaklumkan akan dimasukkan dalam Bajet 2027,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, melihat kepada peningkatan kes kebakaran iaitu lima kes dalam tempoh dua bulan lalu, Hulu Langat memerlukan sebuah balai bomba baharu, sama ada di pekan Batu 14 atau Batu 18.
“Hulu Langat merupakan kawasan pelancongan dengan aktiviti rekreasi seperti pendakian, perkelahan dan riadah di kawasan sungai, sekali gus memerlukan kesiapsiagaan pasukan bomba yang cekap.
“Selain itu, tumpuan untuk menaiktaraf klinik dan kemudahan kesihatan sedi ada di Hulu Langat juga menjadi tumpuan.
“Penduduk di Batu 14, Batu 9 dan Beranang turut memerlukan naiktaraf klinik kesihatan bagi menampung pertambahan penduduk serta keperluan rawatan harian,” katanya.
Naik Taraf Jalan Raya dan Pembinaan Jejambat
Mohd. Sany yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer berkata, antara keperluan infrastruktur mendesak adalah naik taraf jalan dari Petron Batu 10 ke pekan Batu 14 melibatkan jarak sekitar lapan kilometer serta pembinaan sebuah jejambat di Batu 14.
“JKR memaklumkan projek itu tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dengan cadangan menaik taraf jalan daripada dua kepada empat lorong, melibatkan kos hampir RM318 juta,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan pesat perumahan di Hulu Langat tidak seiring dengan pembinaan kemudahan awam seperti masjid, sekolah, jalan utama dan sistem perparitan.
Katanya, Hulu Langat kawasan berhampiran Putrajaya, KLIA, Seremban, Cyberjaya, jadi banyak projek perumahan dibina
“Tapi isunya kita hendak projek perumahan ini siap, tapi pada masa sama, pihak berkepentingan kena tengok juga, rumah banyak dibina, dalam taman itu jalan ok, sistem perparitan baik, cuma bila keluar guna jalan raya yang sama, parit longkang tetap yang sama sejak sekian lama, masjid tetap yang sama, begitu juga sekolah dan tanah perkuburan.
“Maksudnya jumlah rumah bertambah, tapi kemudahan lain ini masih kekal sama, jadi pihak kepentingan baik kerajaan negeri dan PBT kena lihat perkara ini.
“Jangan bina sahaja rumah, kita tidak halang pembangunan, tapi pada masa sama pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam perlu dilihat juga.
“Sebab itu, kita kerap lihat kejadian banjir kilat, tanah, hutan dibuka dan pokok ditebang, tapi air daripada taman-taman baharu ini mengalir ke parit-parit kawasan kampung, yang kecil tidak dapat tampung air banyak, jadi melimpah ke kawasan rendah hingga rumah penduduk dilanda banjir kilat,” terangnya.
Peranan Wakil Rakyat Dan KesEIMBANGAN Agensi daerah
Beliau turut menjelaskan bahawa tanggungjawab Ahli Parlimen adalah menggubal dasar dan membawa isu rakyat ke Dewan Rakyat.
“Namun untuk menyelesaikan isu di Hulu Langat, kerjasama kerajaan negeri dan PBT amat diperlukan.
“Hulu Langat mempunyai 1.5 juta penduduk, namun daerah ini hanya mempunyai dua ibu pejabat polis daerah, dua PBT, seorang pegawai daerah dan seorang pegawai pendidikan daerah, yang mana keadaan yang dianggap tidak seimbang dengan saiz kawasan dan bilangan
penduduk.
“Tambah lagi, Hulu Langat ini bersempadan dengan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Putrajaya, dekat dengan Ampang, Cheras, Bandar Tun Razak, jadi Hulu Langat amat menjadi tumpuan,” ujarnya. – UTUSAN










