PUTRAJAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan terus membantu kerajaan walaupun tidak lagi memegang jawatan menteri, Selasa ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri menyatakan perkara terbabit pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya hari ini.
“Hari ini juga Jemaah Menteri telah merakamkan ucapan terima kasih kepada Tengku Zafrul kerana ia merupakan mesyuarat terakhir dihadiri beliau. Perdana Menteri mengucapkan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dengan pelbagai kejayaan termasuk dari segi pelaburan, perundingan dan perdagangan.
“Tengku Zafrul akan tamat tempoh sebagai Senator bagi penggal kedua pada awal minggu depan dan di pihak kerajaan mungkin (akan tawarkan) dalam bentuk kedudukan atau jawatan yang berbeza di masa depan.
“Tapi apa jawatan atau kedudukan itu tidak dinyatakan, kita tunggu bila tiba masanya,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Sebelum ini, Tengku Zafrul mengesahkan beliau akan menamatkan tugas di kementerian itu pada 2 Disember ini, susulan tamat tempoh pelantikannya sebagai Senator. – UTUSAN









