SWCorp siapsiaga laksana operasi pasca banjir

SWCorp siapsiaga laksana operasi pasca banjir

Peserta mengharungi lumpur bagi menanam pokok paya bakau Sambutan Hari Habitat Sedunia dan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Negeri Melaka 2025 di Jeti Nelayan Sebatu, Merlimau, Jasin hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mengerakkan seluruh kakitangan dan jentera bagi menjalankan operasi pembersihan pasca banjir di kawasan yang teruk terjejas akibat bencana itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalid Mohamed berkata, pihaknya akan memperuntukan tempoh 48 jam bagi melaksanakan pengumpulan sisa banjir dan pemulihan kawasan selepas banjir surut sepenuhnya.

Menurutnya, dari segi tenaga kerja dan jentera adalah mencukupi namun jika satu kawasan itu dilanda banjir besar barulah kakitangan dari negeri lain akan digerakkan untuk membantu.

Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada negeri-negeri di bawah pengurusan syarikat itu melalui Akta 672 di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Pahang, Kedah dan Perlis.

“Bagaimanapun kita bersedia menerima permintaan daripada negeri-negeri bukan di bawah pentadbiran SWCorp untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan.

“Seperti mana yang kita laksanakan di Tumpat, Kelantan apabila kita melakukan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama rakan konsensi.

“Kali ini kita memperuntukan tempoh 48 jam untuk kerja-kerja tersebut kerana ingin memastikan setiap sisa pepejal seperti bangkai binatang, sampah sarap dan sebagainya dapat diuruskan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Habitat Sedunia dan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Negeri Melaka 2025 di Jeti Nelayan Sebatu di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut sebanyak 200 pokok paya bakau ditanam oleh peserta daripada rakan strategik SWCorp melibatkan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, SWM Environment, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Infineon Technologies.

Khalid berkata, kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan timbunan sampah sisa banjir yang boleh berlakunya penyebaran penyakit dan pencemaran bau.

Menurutnya, kerja-kerja yang akan dijalankan itu tidak akan menjejaskan operasi harian bagi negeri-negeri yang tidak dilanda musibah tersebut. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×