Sultan Sharafuddin ingatkan graduan elak diri terlibat rasuah - Utusan Malaysia

Sultan Sharafuddin ingatkan graduan elak diri terlibat rasuah

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan kepada Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah pada Istiadat Konvokesyen UPM Ke-49 di Serdang, Selangor semalam. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) diingatkan menjaga maruah universiti selepas memasuki alam pekerjaan, selain menjauhkan diri daripada sebarang salah laku terutamanya berkait rasuah.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, graduan juga perlu mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa yang menjadi kunci kepada kejayaan dikecapi hari ini.

“Beta juga mengingatkan kepada seluruh graduan UPM supaya menjaga maruah dan nama baik universiti selepas tamat pengajian dan menyertai alam pekerjaan.

“Janganlah terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah yang boleh menjurus kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UPM Ke-49 di Serdang dekat sini, semalam.

Pada hari pertama sidang kedua kali ini, UPM meraikan seramai 715 graduan merangkumi peringkat doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda.

Ia termasuk penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan kepada Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan gelaran Profesor Emeritus kepada Datin Paduka Dr. Khatijah Mohamad Yusoff.

Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa keberkatan hidup serta kejayaan para graduan adalah hasil doa dan sokongan berterusan daripada ibu bapa.

Titah baginda, para graduan tidak seharusnya melupakan pengorbanan besar yang dicurahkan ibu bapa dan pendidik dalam membentuk kejayaan mereka.

“Berbaktilah dan santunilah mereka dengan baik kerana pengorbanan ibu bapa sangat besar dan tidak terbalas.

“Begitu juga pendidik yang telah menjadi tulang belakang kepada kemajuan bangsa dan negara,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN