BAGAN DATUK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.
Yang turut hadir mengiringi baginda, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam majlis itu, baginda berkenan melafazkan pemasyhuran dan menandatangani plak perasmian sebelum berangkat melawat ruang pameran yang menampilkan pembangunan akademik Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), teknologi maritim dan projek pelajar.
Sementara itu, Zambry dalam sembah ucapannya berkata, pemasyhuran PMSN yang merupakan politeknik ke-35 negara itu ditubuhkan pada Disember 2016 dengan visi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maritim.
Beliau berkata, pengambilan sulung pelajar pada tahun 2017 melalui Diploma Seni Bina Kapal menjadikan PMSN sebagai satu-satunya politeknik TVET yang memfokuskan bidang maritim dan perkapalan.
“Hari ini, PMSN berdiri megah di atas tanah seluas 12.14 hektar, dibangunkan dengan kos RM175 juta dan siap sepenuhnya pada tahun 2023.
“Ia merupakan sebuah mercu ilmu yang mencerminkan tekad kerajaan memperkasa TVET maritim negara sekali gus memenuhi aspirasi Malaysia Madani dan agenda Ekonomi Biru negara untuk memperkukuh kelestarian laut dan teknologi maritim masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan rasa berbesar hati apabila nama Sultan Nazrin diabadikan sebagai nama institusi pendidikan itu.
Ujar beliau, pemasyhuran nama Sultan Nazrin itu bukan sekadar penghormatan tetapi amanah besar yang memandu seluruh warga politeknik agar sentiasa berpegang kepada nilai murni, maruah dan ketinggian budi sebagaimana yang dizahirkan oleh baginda.
“Sesungguhnya Tuanku adalah payung ilmu, penaung pendidikan dan cahaya pencerahan yang sekian lama menerangi dunia akademik.
“Kearifan Tuanku menuntun pendidikan negara menjadi pedoman luhur yang tiada ternilai,” katanya. – UTUSAN










