KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-69.
Keberangkatan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di Bukit Chandan dekat sini diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Baginda kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen diketuai Kolonel Abdul Rahim Hamzah.
Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan oleh Pasukan 41 Bateri Regimen Altileri Diraja (Istiadat) berpangkalan di Kem Sungai Buluh, Selangor yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.
Bersempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin kali ini, seramai 238 penerima telah mendapat perkenan baginda untuk dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak termasuk satu penerima secara anumerta.
Daripada jumlah itu, seramai 30 individu akan menerima darjah kebesaran masing-masing pada sesi pertama istiadat penganugerahan hari ini melibatkan penganugerahan Darjah Dato’ Seri Cura Si Manja Kini (SPCM), Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP), Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS), Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) dan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP).
Antara penerima, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Peguam Cara Negara II, Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, Datuk Dr Syed Jaafar Syed Aznan. – UTUSAN










