Steven Sim salur RM207,000 bantu naik taraf SMK Bukit Mertajam

Steven Sim salur RM207,000 bantu naik taraf SMK Bukit Mertajam

STEVEN Sim Chee Keong (tengah) ketika hadir menyampaikan peruntukan sebanyak RM207,000 bagi pembangunan digital di SMK Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini menyalurkan peruntukan sebanyak RM207,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mertajam bagi membantu meningkatkan kemudahan pembelajaran digital di sekolah yang berusia 61 tahun itu.

Peruntukan tersebut merangkumi RM107,000 sumbangan pada tahun 2024 yang telah digunakan untuk projek Digital STEM Classroom Fasa 1 melibatkan pemasangan ‘smartboard’ serta alat penyaman udara selain peruntukan sebanyak RM100,000 pada tahun ini bagi meneruskan projek tersebut untuk fasa kedua.

Dalam satu lawatan tidak rasmi ke sekolah itu, pihak sekolah yang diketuai Pengetua, Saniza Matt Lazim bersama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), S. Sivaji Arumugam turut mengemukakan beberapa permohonan peruntukan tambahan.

Bagi permohonan tersebut, Steven Sim telah memberi komitmen tambahan sebanyak RM200,000 khusus untuk pembelian ‘smartboard’ tambahan bagi melengkapkan semua bilik darjah di SMK Bukit Mertajam dengan teknologi tersebut.

“Apa yang saya berikan hari ini bukanlah besar, tetapi, saya harap sumbangan ini boleh menjadi pemangkin.

“Saya juga ingin menggalakkan agar para alumni SMK Bukit Mertajam untuk turut memberi kembali, kerana pendidikan adalah pelaburan terpenting untuk generasi akan datang,” katanya di sini.

Tambah beliau, peruntukan tersebut diyakini meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, sekali gus memberi manfaat kepada 967 pelajar serta 79 kakitangan sekolah berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN