PETALING JAYA: Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyambut baik seruan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, agar seluruh kepemimpinan dan jentera parti memberi tumpuan sepenuhnya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ketua Srikandi Muda Sabah, Nabila Norsahar berkata, seruan tersebut amat bertepatan dengan keperluan semasa, khususnya bagi memastikan Bersatu Sabah terus kekal relevan dan kukuh dalam memperjuangkan suara rakyat negeri ini.
“Sebagai sebahagian daripada kepemimpinan, kami melihat PRN ini bukan sekadar medan politik, tetapi satu tanggungjawab besar untuk membina masa depan negeri dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap perjuangan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara bersetuju menghentikan kemelut dalaman parti demi mengukuhkan perpaduan dan kekuatan Bersatu menjelang PRN Sabah.
Muhyiddin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas yang diadakan di ibu pejabat parti itu di sini pada Selasa melibatkan kehadiran hampir semua kepemimpinan tertinggi parti.
Nabila berkata, Srikandi Muda Sabah komited untuk menggembleng tenaga anak muda dalam mendukung agenda parti serta memperkukuh jentera di semua peringkat menjelang PRN tersebut.
Beliau yakin dengan semangat perpaduan dan kesungguhan seluruh kepimpinan, Bersatu Sabah mampu mencipta kejayaan pada pilihan raya akan datang.
“Kami menyeru semua ahli dan penyokong Bersatu di Sabah agar menyatu hati serta memperkukuh gerak kerja di lapangan dengan penuh keikhlasan dan semangat perjuangan untuk rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian lapangan menunjukkan potensi perubahan besar bakal berlaku dalam PRN Sabah nanti.
“PRN Sabah bukan sekadar ujian politik, tetapi medan untuk membuktikan keutuhan dan kesetiaan kita terhadap perjuangan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya.










