SPRM tahan Shamsul, Albert Tei, Sofia Rini

SPRM tahan Shamsul, Albert Tei, Sofia Rini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga individu termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.

Selain Shamsul turut ditahan iaitu ahli perniagaan Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan segera memandangkan kes berkenaan berkepentingan awam dan perlu ditangani tanpa memberi ruang kepada mana-mana pihak memanipulasikan keadaan.

Kata beliau, Sofia Rini dita­han pada 27 kira-kira pukul 10.30 malam semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan.

“Hari ini (semalam), permohonan reman terhadap Sofia Rini telah dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan wanita itu direman empat hari sehingga Isnin ini.

“Bagi Albert, pada awal­nya dijadualkan hadir memberi ke­te­rangan pada 1 Disember namun diminta hadir lebih awal, namun enggan berbuat demikian serta tidak memberikan kerjasama kepada pegawai penyiasat SPRM,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok rasmi SPRM, semalam.

Kata beliau, Albert ditahan pada pukul 10.15 pagi semalam di kediamannya.

Selain, SPRM turut menye­rahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert yang membolehkan pihak berkuasa menafikan haknya untuk berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain ketika siasatan dijalankan.

Azam memaklumkan, Shamsul Iskandar pula ditahan pada pukul 12.51 tengah hari selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM.

“Permohonan reman terhadap Albert dan Shamsul Iskandar dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok,” jelasnya.

Azam menegaskan siasatan akan dilakukan secara profesional dan adil mengikut lunas undang-undang, selain menasihatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi.

Katanya, mana-mana pihak yang mahu mempertikaikan tindakan penahanan tersebut berhak berbuat demikian di mahkamah.

“Pegawai penyiasat SPRM akan melengkapkan keseluruhan siasatan dalam tempoh seminggu untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi keputusan selanjutnya,” katanya.

Azam turut menafikan berlakunya situasi di mana pegawainya mengacukan senjata di kepala ahli perniagaan, Albert ketika tangkapan dilakukan.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat (semalam) bagi membolehkan pihak berkuasa terbabit menjalankan siasatan atas fitnah dibuat terhadap pegawai SPRM berkenaan,” katanya.

Sementara itu, peguam kepada Albert Tei mendakwa ahli perniagaan kontroversi itu telah ditahan SPRM selepas melakukan serbuan di kediamannya pagi semalam.

Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata, ketika beliau tiba di kediaman tersebut untuk bertemu anak guamnya ,pegawai agensi berkenaan didakwa enggan memperkenalkan diri serta tidak membenarkannya memasuki rumah atau berjumpa dengan Tei.

Malah katanya, pegawai-pegawai itu hanya menghampirinya selepas beliau mengambil gambar kejadian, selain meminta secara tidak wajar untuk melihat telefon serta gambar yang dirakam.

“Tei kemudian dibawa keluar dalam keadaan bergari dan dikelilingi anggota bersenjata yang memakai balaclava, seolah-olah beliau seorang pengganas,” katanya.

Peguam itu juga mendakwa bahawa para pegawai terbabit tidak memaklumkan identiti sebenar mereka dan tidak memberitahu lokasi anak guamnya dibawa, menyebabkan beliau tidak dapat memastikan sama ada mereka benar-benar pegawai polis atau SPRM.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran hak perlembagaan anak guamnya, termasuk hak untuk mendapatkan khidmat peguam, yang menurutnya telah dinafikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN