TUARAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berada dalam keadaan kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana, termasuk hujan lebat dan banjir, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, SPR mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi situasi kecemasan, namun tindakan di lapangan akan dibuat berdasarkan laporan semasa yang diterima daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah (JPBD) melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
“SPR akan bertindak mengikut keadaan semasa di tapak. Buat masa ini, kita sentiasa berwaspada dengan cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata, semalam SPR turut mengadakan mesyuarat persediaan bersama MetMalaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang boleh menjejaskan kelancaran proses pengundian.
Beliau berkata, walaupun berlaku banjir kilat atau gangguan cuaca, proses pilihan raya tetap diteruskan seperti biasa, dengan penggerakan aset-aset operasi melalui agensi kerajaan berkaitan.
“Jika ada kawasan terputus hubungan, JPBD akan mengerahkan aset seperti bot, perahu dan kemudahan lain untuk membantu pergerakan penduduk,” jelasnya.
Mengulas lanjut, sebagai persediaan tambahan, SPR turut menyediakan perkhidmatan helikopter bagi mengangkut kertas undi dan dokumen daripada pusat-pusat mengundi yang terletak di pulau serta kawasan pedalaman yang sukar diakses.
“Bagi kawasan lain, akses akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), bot dan aset-aset lain bergantung kepada keadaan geografi.
“Angka terperinci bagi penggunaan bot dan 4WD tidak tersedia, tetapi bagi penggunaan helikopter, jumlahnya adalah 85 kawasan,” katanya. – UTUSAN










