PUTRAJAYA: Calon Sijil Pelajaran Malaysia 2025 (SPM 2025) yang dikenal pasti terjejas banjir telah dipindahkan ke lokasi selamat seawal Oktober lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, pelan kontingensi berkaitan banjir dan pembukaan Pusat Penempatan Sementara (PPS) telah dirangka sejak September lalu bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada peperiksaan.
Beliau berkata, setakat ini, 259 calon terjejas banjir telah dipindahkan ke tempat lebih selamat lebih awal bagi mengelak gangguan.
“Setakat ini, tiada pusat peperiksaan SPM 2025 di seluruh negara terjejas dengan bencana banjir,” katanya ketika ditemui selepas meninjau peperiksaan SPM 2025, di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) di sini, hari ini.
Katanya, aspek keselamatan dan akses calon turut diteliti lebih awal terutama di lokasi yang saban tahun berdepan kenaikan paras air termasuk lawatan ke Kedah dan Sabah sebelum ini untuk meneliti pusat-pusat alternatif yang disediakan.
Mohd Azam berkata, tindakan dan langkah kontingensi itu membuktikan kecekapan petugas peperiksaan serta agensi-agensi kerajaan yang sentiasa bersedia memastikan kelancaran proses SPM.
“Maknanya, disitu lah kita lihat kecekapan petugas-petugas SPM yang terdiri daripada guru-guru dan kecekapan agensi kerajaan telah mengambil tindakan untuk memberi sokongan dan bantuan kepada calon-calon peperiksaan.
“Kita dah putuskan apa tindakan yang perlu diambil jika pusat peperiksaan digunakan sebagai PPS. Jadi, calon-calon akan dipindahkan ke bilik-bilik darjah dan ia telah disusun sebaiknya dari awal,” katanya.
Mengulas cabaran musim tengkujuh yang berlaku pada November dan Disember, Mohd Azam berkata, persiapan awal tetap dilaksanakan meskipun banjir boleh berlaku pada bila-bila masa termasuklah bulan Januari atau Februari.
“Kita sudah ada data anak-anak itu, bagaimana lokasi rumahnya dengan pusat peperiksaan itu contohnya ada sungai, memang sudah dikenal pasti setiap tahun akan banjir. Jadi, anak-anak itu telah dipindahkan ke sekolah yang menjadi pusat peperiksaan itu,” katanya yang menjelaskan jumlah calon yang benar-benar terjejas adalah kecil. – UTUSAN










