Sindiket seludup rokok bernilai RM7.3 juta tumpas

Sindiket seludup rokok bernilai RM7.3 juta tumpas

SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas oleh JKDM Melaka selepas ditemukan di dalam sebuah kontena yang diisytiharkan sebagai peralatan perabot di Pelabuhan Barat, Klang. - IHSAN JKDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok di dalam sebuah kontena dengan nilai keseluruhan berjumlah RM7,325,912 di Pelabuhan Barat Klang, Selangor.

Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan pada pukul 12.05 tengah hari 31 Oktober lalu oleh sepasukan anggota Kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka.

Pengarah Kastam Melaka, Bakri Abd. Rahman berkata, pemeriksaan awal terhadap dokumen pengikraran dagangan mendapati kontena berkenaan diikrarkan sebagai 850 karton peralatan perabot.

“Pemeriksaan awal terhadap dokumen pengikraran mendapati dagangan diisytiharkan sebagai peralatan perabot, namun hasil pemeriksaan fizikal menemukan sebanyak 850 kotak berisi 9,794,000 batang rokok.

“Nilai rokok yang dirampas dianggarkan berjumlah RM783,520 dengan melibatkan duti dan cukai sebanyak RM6,542,392, menjadikan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM7.3 juta,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan modus operandi yang dikesan adalah dengan membuat pengisytiharan yang tidak betul bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Tambahnya, rokok diklasifikasikan sebagai barang larangan di bawah Butiran 66, Jadual Ketiga, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 sehingga 20 kali nilai barang.

“Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan denda RM500,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau menyeru orang awam membantu JKDM memerangi penyeludupan khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Tambahnya, maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN