Sindiket seludup migran ‘Pade Ajak’ tumpas, 18 PATI ditahan

Sindiket seludup migran ‘Pade Ajak’ tumpas, 18 PATI ditahan

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan sindiket dikenali ‘Pade Ajak’ yang aktif menyeludup migran dengan menawarkan khidmat tersebut di media sosial, tumpas selepas 18 warga asing ditahan di beberapa lokasi di Kuala Selangor, kelmarin.

Serbuan hasil risikan dan maklumat itu dilakukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama di sebuah premis beroperasi di sebalik kedai runcit dan makan yang dijadikan lokasi transit migran dengan dilengkapi kemudahan tempat tinggal, bilik air dan dapur.

“Sembilan warga Indonesia iaitu tujuh lelaki dan dua wanita berusia  20 hingga 45 tahun selain dua transporter lelaki masing-masing warganegara Nepal dan Indonesia ditahan.

“Turut disita sebuah Toyota Innova yang digunakan bagi mengangkut migran ke lokasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat berhampiran lokasi pertama berjaya menahan enam migran warga Indonesia iaitu tiga lelaki dan tiga wanita berusia  22 hingga 40 tahun.

Tambahnya, turut ditahan dua penjaga rumah iaitu seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki Nepal.

Kata beliau, seorang lelaki Indonesia berusia 36 tahun yang disyaki dalang utama dan transporter sindiket turut diberkas.

“Siasatan awal mendapati, semua migran ditempatkan sementara di premis tersebut sebelum diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di sekitar perairan Kuala Selangor. 

“Kebanyakan mereka mengaku mendapatkan khidmat sindiket melalui akaun media sosial,” katanya.

Zakaria berkata, sindiket ‘Pade Ajak’  aktif sejak awal 2023 dengan rangkaian operasi melibatkan ejen di Malaysia dan dalang utama di Indonesia hingga mengaut keuntungan mencecah RM504,000 hasil daripada aktiviti haram tersebut.

“Sindiket menggunakan media sosial untuk menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan, dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,100 setiap individu,” katanya.

Zakaria berkata, JIM sedang mengesan pemilik premis warga tempatan untuk tindakan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket tersebut dengan menyewakan serta membenarkan premisnya dijadikan pusat pengumpulan migran secara haram.

“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×