ENAM tahun lalu, nama Sharifah Haneesya Hanee hangat diperkatakan gara-gara kontroversi ‘kelab malam’ yang mengakibatkan kemenangannya dalam pertandingan Dewi Remaja ketika itu, ditarik balik penganjur.
Pengalaman buruk itu sampai ke hari ini menghantui jelitawan hitam manis ini. Akibatnya, dia terus dihukum, dipanggil dengan pelbagai gelaran, dicemuh dan dikecam sehingga sekarang.
Sharifah menelusuri enam tahun yang cukup menduga. Akuinya, bukan mudah untuk membersihkan nama yang sudah tercalar.
“Untuk naik selepas jatuh itu, sukar. Saya mengambil masa lama sebelum betul-betul bangkit. Tidak ramai yang mahu memberikan saya peluang selepas apa yang berlaku kerana diri saya ini terus dikenang dan dikaitkan dengan kejadian enam tahun lalu.
“Saya melalui fasa sukar. Hilang kepercayaan ramai orang. Banyak pintu yang tidak dibuka untuk saya. Penolakan? Terlampau banyak. Berpuluh-puluh uji bakat lakonan saya ditidakkan. Saya akui memang kecewa dan hampir berputus asa.
“Tapi apa pilihan yang saya ada? Saya anak sulung yang punya tanggungjawab kepada keluarga. Tidak seharusnya saya menongkat dagu, menunggu sahaja peluang yang entah datang, entahkan tidak,” katanya.

Sharifah menegaskan dia tidak pernah menggunakan kontroversi sebagai batu loncatan untuk menempa nama. Malah, katanya, cerita negatif hanya mendatangkan banyak keburukan kepada dirinya.
“Kata orang, burukkah atau murahankah, cerita itu tetap publisiti yang menaikkan nama. Pada saya, itu kenyataan yang sekadar mahu menyedapkan hati sahaja.
“Ia tidak membawa apa kebaikan sekalipun. Tengoklah apa yang berlaku kepada saya selepas cerita kelab malam itu tersebar? Imej tercemar, kerjaya menjadi sukar, peluang tertutup.
“Saya akui, memang silap saya. Tapi, wajarkah sampai sekarang saya dihukum kerananya? Sudah-sudahlah,” luahnya.

SUMBER KEKUATAN
“Ibu saya.”
Jawapan itu segera diberikan Haneesya selepas ditanyakan tentang sumber kekuatan.
Kata Sharifah, dia bersyukur kerana ibunya tidak putus-putus menyuntik semangat dan mendoakan agar dia diberi semangat untuk meneruskan kehidupan.
“Ibu selalu ingatkan agar jangan berputus asa. Saya percaya dan sampai sekarang pegang kata-katanya.
“Setiap perkara baik yang berlaku dalam kehidupan saya hari ini adalah berkat doa ibu yang tidak putus dilangitkan,” katanya.

Sebagai anak, ujar Sharifah, perkara paling menyakitkan adalah melihat ibunya kecewa dan terluka kerana kesilapan yang dilakukannya dulu.
“Ibu mana yang tidak sedih apabila membaca cerita-cerita buruk tentang anaknya. Bayangkan, macam mana ibu saya hendak pandang muka saya selepas kisah saya tular?
“Saya tidak nafikan, kontroversi sedikit sebanyak menjejaskan hubungan kami anak beranak.
“Banyak kali saya menyaksikan air matanya tumpah, dan banyak kali juga dia cuba sembunyikan kekecewaannya terhadap saya.
“Tapi ibu jugalah yang terawal menarik tangan saya untuk bangkit. Kerana ibu, saya ada kekuatan untuk bekerja keras, tebus kesalahan lampau,” jelasnya.

MALAM TERLARANG
Tumpah air mata anak jati Pulau Pinang ini saat berkongsi rasa gembira apabila filem lakonan pertamanya, Malam Terlarang, akhirnya menjengah pawagam bermula 30 Oktober lepas.
Sharifah, yang melakonkan watak pemakbul dalam filem berkenaan, menyifatkan pembabitan dalam Malam Terlarang sebagai pencapaian yang cukup bermakna.
“Selepas segala penat lelah dan keperitan, akhirnya ada sesuatu yang boleh saya banggakan.
“Momen ini membahagiakan saya dan menyembuhkan segala rasa kecewa yang saya lalui sebelum ini.
“Akhirnya, saya dapat merasakan kemanisan sekelumit kejayaan,” katanya.

Kata Sharifah, kemunculannya dalam naskhah arahan Nurhanisham Muhammad itu membawa kesan yang besar kepada karier lakonannya.
“Meskipun tidak melakonkan watak utama, namun karakter saya dalam filem ini bermakna.
“Ia membuka mata ramai pihak terhadap kehadiran saya dalam dunia perfileman tanah air.
“Disebabkan filem ini, pengikut media sosial saya bertambah. Malam Terlarang adalah titik permulaan sebelum saya kembangkan sayap dan terbang lebih tinggi,” ujarnya.










