PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin perlu membersihkan imej kerajaaan dan pucuk pimpinan yang terpalit ekoran dakwaan rasuah dan salah guna kuasa ke atas dirinya.
Tindakan itu perlu supaya nama baik kerajaan, PKR dan kepemimpinan dapat dibersihkan dan tidak menjejaskan perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang berlangsung.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Shamsul Iskandar tidak boleh mengunci mulut dan berdiam diri dalam menghadapi tuduhan ahli perniagaan Albert Tei yang pernah dikaitkan dengan beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu.
Katanya, dakwaan pemimpin kerajaan terlibat dalam rasuah adalah serius, dan memberi kesan kepada kerajaan yang dipimpin oleh Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Kita hendak perangi rasuah, tetapi bagaimana jika terdapat dakwaan bahawa ahli politik kita, setiausaha politik dan Perdana Menteri terlibat?.
“Salah satu cara ialah dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan itu.
“Jika kerajaan, Shamsul Iskandar dan Anwar berdiam diri maka itu akan dianggap sebagai pengakuan, jadi perlu membela diri. Perdana Menteri perlu ke depan dalam hal ini kerana beliau merupakan pemimpin kerajaan serta parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Shamsul Iskandar yang juga Ketua PKR Hang Tuah Jaya mengumumkan perletakan jawatan dan keputusan itu diambil selepas dikatakan wujud percubaan untuk memburukkan dirinya sekali gus boleh mencemarkan imej Kerajaan Madani.
Shamsul Iskandar turut dikaitkan dengan tuduhan rasuah oleh Albert Tei selepas tular klip video dari rakaman kamera tersebunyi yang mendedahkan perbualan ahli perniagaan itu dengan seorang wanita.
Wanita yang didakwa proksi kepada Shamsul Iskandar itu mendakwa sudah menerima restu daripada Anwar untuk membenarkan Albert merakam perbualannya secara rahsia dengan ahli politik Sabah mengenai perbincangan sogokan untuk mendapatkan lesen perlombongan.
Video tersebut muncul beberapa jam selepas Albert melakukan pendedahan sudah membelanjakan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar dalam beberapa siri perbelanjaan termasuk pengubahsuaian, perkakas dan perabot untuk dua hartanah.
Hassan berkata, Albert juga perlu membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaannya berkenaan.
Katanya, jika tidak ada laporan daripada Albert sekalipun, SPRM dan pihak polis boleh memulakan siasatan kerana perkara ini sudah menjadi pengetahuan umum.
Seruan sama turut disuarakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa Anwar dan Shamsul Iskandar perlu menyaman Albert supaya tuduhan rasuah itu dapat diperjelaskan dalam mahkamah.
“(Dalam kes Anwar) akan sangat sukar bagi Albert untuk membuktikan dakwaannya melangkaui sangkaan yang dibuat dalam video itu.
“Melainkan dia mempunyai rakaman pertemuan dengan Perdana Menteri yang jelas merakam arahan sedemikian.
“Selain itu, perkara itu hanya boleh diselesaikan di mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan kesahihan dakwaan dalam klip rakaman yang tular itu.
Katanya, tuduhan terhadap Perdana Menteri menerusi klip tersebut kabur dan tidak memberikan sebarang bukti.
“Adalah tidak bertanggungjawab dan tidak jujur bagi sesiapa menggunakan klip yang telah disunting seperti ini untuk menyerang Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pemimpin DAP itu berkata, Perdana Menteri tidak boleh dinilai berdasarkan bayang-bayang dan khabar angin yang dicipta demi drama tular, sebaliknya patut dinilai berdasarkan fakta yang boleh disahkan, bukan video yang tidak memenuhi walaupun piawaian bukti paling rendah di mana-mana sahaja di dunia.
Sementara itu Anwar dalam kenyataan semalam mengesahkan menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar dan menyerahkan kepada SPRM berhubung tuduhan yang timbul terhadapnya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan akhbar pula berkata pihaknya akan memanggil Albert dan Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi mengambil keterangan berhubung isu berkenaan.
SPRM turut akan memanggil semua pihak-pihak yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan.
Sementara itu, Shamsul Iskandar dalam kenyataan lewat petang semalam memaklumkan sudah membuat laporan polis terhadap Albert susulan dakwaan fitnah kononnya Perdana Menteri mengarahkan rakaman rahsia terhadap ahli politik Sabah.
Laporan itu dibuat pada pukul 5.05 petang semalam di Balai Polis Sandakan, Sabah.
Beliau berkata, tuduhan itu sebagai konspirasi jahat untuk mencemarkan imej Perdana Menteri dan cubaan menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik ketika kempen di Sabah.
“Ini fitnah keji. Saya tidak akan membenarkan mana-mana individu menggunakan nama atau jawatan lama saya untuk menjejaskan kerajaan,” katanya.- UTUSAN








