PUTRAJAYA: Datuk Seri Iskandar Shamsul Mohd Akin ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan dakwaan dia menerima imbuhan tunai dan barangan lain daripada seorang ahli perniagaan.
Shamsul Iskandar yang juga bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ($PRM) 2009.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Fatin Muneerah Sofian di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini bermula hari ini hingga Jumaat depan.
Peguam Shamsul Iskandar, Yusmadi Yusoff ketika ditemui berkata, mahkamah memberi tempoh tahanan reman enam hari selepas mengambil kira tahap kesihatan anak guamnya.
Beliau berkata, anak guamnya kini mengikuti rawatan berkala bagi penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi malah, semua laporan perubatan telah dibekalkan kepada mahkamah.
“Alhamdulillah, anak guam saya sihat. Cuma malam tadi, dia (Shamsul Iskandar) diberi peluang untuk mendapatkan rawatan.
“Saya berterima kasih dengan kerjasama diberikan pihak SPRM kepada anak guam saya. Insya-Allah kebenaran akan terserlah,” katanya.
Beliau juga memohon kepada mahkamah untuk mengendalikan sesi permohonan reman secara berasingan dengan seorang lagi suspek iaitu ahli perniagaan, Albert Tei.
Katanya, permohonan itu dibenarkan oleh Majistret Fatin Muneerah Sofian kerana anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM termasuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri minggu lalu.
“Sebelum siasatan oleh SPRM terhadapnya, dia (Shamsul Iskandar) sendiri telah membuktikan akan bertanggungjawab sepenuhnya dan beri kerjasama terhadap sissatan kes itu.
“Sepatutnya, dia akan berada di Sabah sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai kerana dia setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri. Selepas meletak jawatan, dia sepatutnya segan tapi itu tak berlaku.
“Bagi saya, ia satu sikap yang baik ditunjukkan oleh Shamsul Iskandar. Dia sendiri mahu siasatan kes itu dijalankan dengan telus dan pada masa sama tidak mahu isu itu terpalit kepada Pejabat Perdana Menteri,” katanya.
Tei dan Shamsul Iskandar tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini sekitar pukul 9 pagi tadi bagi mendapatkan permohonan reman.
Kedua-dua yang bergari dan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba kira-kira pukul 9 pagi sambil diiringi pegawai SPRM. – UTUSAN










