Seorang rakyat Palestin dibunuh setiap jam - Utusan Malaysia

Seorang rakyat Palestin dibunuh setiap jam

SEORANG wanita Palestin bersama anak-anaknya mengutip ranting kayu untuk dijadikan bahan bakar di Bureij, Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang rakyat Palestin dibunuh setiap jam oleh tentera Israel, sejak gencatan senjata diumumkan pada 11 Oktober lalu sehingga me­ngorbankan 241 rakyat Palestin di Gaza.

Kedutaan Palestin membe­ritahu Utusan Malaysia, Israel mendakwa mangsa diserang kerana melintasi garisan kuning tidak ketara.

“Selain korban jiwa, mereka turut memusnahkan lebih banyak kediaman di Rafah dan Khan Younis, menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal. Di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis, seramai tujuh rakyat Palestin terbunuh minggu lalu, antaranya empat kanak-kanak dan seorang wanita berusia 73 tahun,” kata­nya dalam kenyataan.

Dalam masa sama, rejim Zionis dilaporkan menyerang wartawan dan aktivis di Beita dan turut membakar kebun zaitun serta merampas tanah dan kediaman penduduk.

“Seorang pakar bedah ter­kenal, Dr. Ghassan Abu Sitta mengesahkan wujudnya bukti kecurian organ syuhada Palestin yang dikembalikan dari tahanan Israel, termasuk jantung, paru-paru, buah pinggang dan kornea,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, keadaan di Gaza selepas pengumuman gencatan senjata amat rapuh walaupun serangan udara berkurangan.

Beliau berkata, ramai penduduk masih takut untuk pulang ke rumah masing-masing kerana telah musnah atau tidak selamat untuk didiami.

Katanya, bantuan kemanusiaan kini mula masuk melalui lintasan Rafah, namun proses penghantaran masih perlahan akibat sekatan logistik dan pemeriksaan ketat oleh Israel.

Ujarnya, lebih 70 peratus hospital di Gaza mengalami ke­rosakan serius dan banyak yang tidak berfungsi sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×