Senarai hitam lesen lebih berkesan berbanding beri diskaun trafik

Senarai hitam lesen lebih berkesan berbanding beri diskaun trafik

DR. LAW TEIK HUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan menyenarai hitam Lesen Kenderaan Motor (LKM) adalah langkah paling berkesan mendisiplinkan pengguna jalan raya berbanding sekadar kempen kesedaran dan tawaran diskaun saman.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, tindakan itu menimbulkan rasa gentar dalam kalangan pemandu dan memaksa mereka lebih bertanggungjawab terhadap kesalahan lalu lintas seterusnya membentuk disiplin secara paksaan.

Katanya, langkah itu bukan sahaja memberi kesan serta-merta terhadap pesalah trafik, malah mengganggu urusan harian seperti bekerja dan berniaga apabila keupayaan mereka untuk memandu secara sah.

Bagaimanapun katanya, pendekatan senarai hitam dan kempen kesedaran perlu digerakkan secara serentak kerana kedua-duanya saling melengkapi. 

“Kempen kesedaran berfungsi mendidik dan memupuk sikap patuh undang-undang dari dalam diri untuk jangka panjang, manakala senarai hitam menjadi mekanisme penguatkuasaan bagi mendisiplinkan golongan yang masih degil.

“Masalah tunggakan saman mencecah jutaan ringgit dipercayai berpunca daripada beberapa faktor termasuk sikap masyarakat yang sudah terbiasa dengan tawaran diskaun berulang kali, menyebabkan mereka menangguhkan pembayaran dengan menjangkakan promosi akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 5.5 juta saman yang masih belum dijelaskan hingga kini walaupun kerajaan kerap menawarkan diskaun bayaran saman.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3.68 juta saman dikeluarkan di bawah notis JPJ P(22) manakala 1.38 juta lagi membabitkan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).

Teik Hua berkata, jumlah saman yang tinggi masih membebankan walaupun selepas diskaun kerana disebabkan persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang tidak konsisten.

Jelasnya, bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, pendekatan bersepadu perlu dilaksanakan. 

“Antaranya dengan mengaitkan pembayaran saman secara mandatori dalam proses pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan, serta melaksanakan sistem mata merit yang menggantung lesen secara automatik apabila mencapai had kesalahan.

“Pada masa sama, teknologi boleh dimanfaatkan untuk memudahkan pembayaran dan penghantaran notifikasi kepada pengguna, manakala penguatkuasaan perlu dijalankan secara konsisten bagi membina keyakinan terhadap ketegasan sistem,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN