Semarak ukhuwah, kukuh semangat berpasukan - Utusan Malaysia

Semarak ukhuwah, kukuh semangat berpasukan

HARI Keluarga Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri 2025 berlangsung meriah di Pusat Rekreasi Air, Presint 1, Putrajaya.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hari Keluarga Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri 2025 berlangsung meriah dengan semangat kekeluargaan.

Ia membabitkan penyertaan warga jabatan berkenaan dari seluruh negara.

Hari keluarga berkenaan yang julung kali diadakan berlangsung di Pusat Rekreasi Air, Presint 1, Putrajaya itu bertemakan semarak berpasukan warga BPA menjaga keunggulan.

Ia platform penting memperkukuh hubungan silaturahim antara warga kerja serta ahli keluarga di samping menyemai nilai-nilai kerja berpasukan, semangat setiakawan dan kebersamaan anggota organisasi.

Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Datuk Akhbar Samon berkata, kejayaan penganjuran program itu menjadi manifestasi kepada kekuatan dan kesepaduan warga BPA sebagai satu keluarga besar.

“Program tersebut bukan sekadar ruang untuk berehat dan bergembira bersama keluarga, tetapi turut menjadi wadah penting dalam membina semarak berpasukan serta menyalakan semula semangat kebersamaan dalam kalangan warga BPA.

“Kita turut merakamkan penghargaan kepada warga BPA negeri yang sanggup hadir dari jauh serta bekas pegawai BPA yang masih mengekalkan hubungan erat dengan organisasi.

“Kehadiran mereka membuktikan ikatan kekeluargaan dalam BPA tidak pernah terputus, walau di mana pun kita berkhidmat. Ini mencerminkan semangat setiakawan dan kekitaan yang menjadi asas kekuatan organisasi,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan komitmen berterusan BPA untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

“BPA komited memastikan setiap aduan yang diterima melalui SISPAA diselesaikan dalam tempoh tidak melebihi 90 hari. Ia adalah manifestasi kesungguhan kami untuk menjadikan perkhidmatan kerajaan lebih cekap, responsif dan berorientasikan rakyat,” ujarnya.

Program tersebut turut mendapat kerjasama MEP Ventures Sdn. Bhd yang berperanan sebagai perunding latihan dalam merangka aktiviti berbentuk pembangunan pasukan secara interaktif dan menyeronokkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN