KETIKA Gayong menemui penonton pada Mei lalu, filem ini mampu meraih RM4.1 juta selepas 35 hari berjuang di panggung. Jumlah kutipan itu sedikit meleset daripada jangkaan pengarahnya, Faisal Ishak yang mengimpikan kutipan sebanyak RM10 juta untuk naskhah biografi Datuk Meor Abdul Rahman tersebut.
Lima bulan selepas itu, Gayong kemudian boleh ditonton menerusi platform penstriman berbayar. Sejak naskhah itu boleh diakses menerusi Netflix pada 31 Oktober lalu, Gayong kekal menduduki senarai 10 filem paling banyak ditonton. Sesekali kedudukannya bertukar-tukar kerana perlu bersaing dengan filem dari pelbagai negara, namun sehingga artikel ini ditulis, filem itu tidak pernah keluar daripada kelompok filem popular tersebut.
Bukan itu sahaja, filem ini rancak dibicarakan di media sosial tidak kiralah sama ada baik atau buruk responsnya.
“Saya hargai semua respons tersebut sama ada baik atau tidak. Walaupun sebelum ini filem ini ditayangkan di panggung, namun saya tetap hargai mereka yang kini menonton di Netflix.
“Kita semua maklum filem ini akan ada sambungan Gayong 2, jadi saya berharap agar selepas menonton filem pertama ini di Netflix, lebih ramai yang akan yakin dan berminat untuk turun ke panggung bagi menonton filem kedua,” katanya pelakon utamanya, Beto Kusyairy ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagaimanapun, senario yang ditunjukkan Gayong secara tidak langsung memberi petanda bahawa tabiat penonton filem di Malaysia sudah berubah sejak adanya platform penstriman. Malah, tidak kurang juga ada yang gusar kalau-kalau nasib filem tempatan akan dibunuh di panggung kerana hujung-hujung bakal ditayang ke Netflix juga.
Mengulas perkara itu, Beto yang juga Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 berpendapat sukar menyalahkan mana-mana pihak dalam situasi ini.
“Kalau nak bandingkan dua platform itu, saya tak boleh nak cakap apa sebab macam sudah menjadi budaya sekarang semua menonton di atas tapak tangan sahaja.
“Dari sudut pandangan pembikin filem, itu sesuatu yang tidak menyeronokkan. Sebab sudah keluarkan modal yang besar. Bila tayang di layar lebar, sistem bunyi semuanya kita bayar. Jadi kenapa tonton di tapak tangan jika filem itu dibikin untuk layar lebar?” katanya.
Bagaimanapun, Beto sedar, ketika ekonomi tidak menentu hari ini, tidak semua pihak mampu menyediakan sejumlah wang yang banyak untuk pergi menonton ke panggung. Lebih-lebih lagi penerbitan filem tempatan sekarang sudah semakin rancak, ada sahaja naskhah baharu ke panggung setiap minggu.
“Saya ambil peduli dari sudut itu dan tidak mahu nak salahkan penonton juga.
“Bayangkan, tiket wayang pun kalau pergi dua orang sudah berapa. Mestilah kena bayar tempat letak kereta, makan dan minum lagi,” tambahnya.
Good Boys Go To Heaven
Bercerita tentang projek terbaharu, Beto berkongsi sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri premium Astro Originals, Good Boys Go To Heaven.
Cerita ini mengisahkan tentang seorang bapa, Yasser lakonannya yang menjadi suspek pembunuhan anaknya sendiri.
“Jujur watak ini berat nak mati. Sebagai seorang pelakon, saya buat kajian tentang kesihatan mental dan trauma kerana itu sangat membantu saya. Ada juga saya berdiskusi dengan pengarah dan penulis skrip untuk cari titik temu.
“Penat memang ya, tapi bila tengok hasil di kamera, takutlah nanti dikata masuk bakul angkat sendiri pula. Anda kena tengoklah sendiri ya,” katanya ketawa.
Good Boys Go To Heaven dijangka menemui penonton tahun hadapan.










