Sambutan 30 Tahun KPRJ Penuh BersejarahMenerusi Penjenamaan Semula

Sambutan 30 Tahun KPRJ Penuh Bersejarah Menerusi Penjenamaan Semula

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (tengah) bergambar bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Gahzi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) di hadapan logo KPRJ yang baharu dirasmikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) hari ini meraikan Ulang Tahun Ke-30 yang bukan sahaja menampilkan identiti korporat baharu, malah turut membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan Johor serta pengaruhnya di seluruh negara.

Majlis berprestij ini disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Lukman Abu Bakar.

Kehadiran Tunku Mahkota Ismail dan para tetamu kehormat mencerminkan sokongan padu terhadap KPRJ sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi negeri.

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyaksikan pelancaran logo baharu Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), sebuah rekaan yang diinspirasikan oleh Baginda dan menandakan pengenalan rasmi identiti diperbaharui organisasi tersebut.

Sambutan dimulakan dengan tayangan montaj khas yang mengimbau perjalanan KPRJ selama tiga dekad merangkumi kemajuan, pembangunan dan sumbangan KPRJ kepada rakyat Johor.

Perjalanan tiga dekad KPRJ turut diabadikan menerusi pelancaran ‘Coffee Table Book’ yang mendokumentasikan sejarah penubuhan KPRJ sejak 1995 merangkumi pencapaian dan hala tuju KPRJ.

Penerbitan eksklusif ini selari dengan tema ulang tahun, “3 Dekad Membina Legasi, Mencorakkan Masa Hadapan”, sekali gus menjadi rujukan bernilai tinggi untuk generasi akan datang dalam memahami sumbangan dan aspirasi KPRJ terhadap pembangunan negeri Johor.

Kemuncak acara memaparkan montaj pelancaran logo baharu menerusi lakaran Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memotret logo baharu KPRJ, simbolik bagi menandakan bermulanya era penjenamaan semula serta identiti korporat baharu KPRJ.

Pelancaran logo dan identiti baharu ini bukan sekadar transformasi visual, malah penegasan semula terhadap matlamat dan arah tuju KPRJ. Direka berasaskan semangat kemajuan, perpaduan dan ketahanan, identiti baharu ini mencerminkan
kesediaan KPRJ memperkukuh kedudukannya di Johor serta memperluas kerjasama ke seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Lukman Abu Bakar berkata, penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan logo.

“Ia menandakan transformasi menyeluruh, memperkenalkan penjenamaan yang lebih jelas dan menyatukan anak-anak syarikat serta pelaburan di bawah satu identiti yang kukuh,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1995, KPRJ dipertanggungjawabkan dengan pelbagai projek pembangunan yang membentuk landskap ekonomi dan sosial Johor.

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Lukman Abu Bakar menyerahkan replika bangunan ibu pejabat baharu KPRJ kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai sebahagian daripada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-30 KPRJ.

Dari infrastruktur strategik hingga pembangunan hartanah dan pelaburan, KPRJ terus memperluas portfolionya ke sektor-sektor berimpak tinggi.

Terbaharu, KPRJ turut meneroka sektor alam sekitar selari aspirasi kelestarian dan agenda hijau global.

Komitmen selama 30 tahun ini memastikan setiap usaha KPRJ membawa nilai jangka panjang kepada rakyat Johor.

Sambutan Ulang Tahun ke-30 ini bukan sekadar menyingkap pencapaian lalu, sebaliknya deklarasi keyakinan terhadap masa hadapan yang dipacu inovasi, kelestarian dan komitmen tidak berbelah bahagi kepada Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN