TAPAH: Penghuni Penjara Tapah teruja dengan pemberian hidangan makanan tengah hari kurniaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-69 kelmarin.
Menurut seorang prospek wanita yang dikenali Salmiah, 49, dari Ipoh, hidangan nasi minyak, ayam masak merah, kuah dalca, buah-buahan dan air kotak jelas menunjukkan keprihatinan baginda.
“Kami menjalani hukuman di dalam tirai besi tidak sama seperti insan-insan lain yang bebas di luar sana, jadi dengan majlis sebegini agak menggembirakan.
“Ini jelas menunjukkan keprihatinan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kepada semua rakyat di bawah pemerintahannya,” katanya ketika ditemui di Penjara Tapah di sini.
Terdahulu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin yang mewakili baginda menyerahkan sumbangan makanan tengah hari pada Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Perak.
Bagi prospek lelaki dikenali Halim, 29, majlis itu memberi pengertian tersendiri kepadanya setelah menjalani hukuman untuk tempoh yang lama di penjara tersebut.
Katanya, pengalaman itu adalah momen yang berharga dan tidak dapat dilupakan.
Sementara itu, Mohd. Zahidi berkata, belanja keseluruhan hidangan ialah RM118,800 sebagai lambang sifat prihatin dan ihsan Sultan Nazrin terhadap kebajikan prospek penjara.
“Di samping negeri Perak meraikan pelbagai aktiviti sempena sambutan ulang tahun keputeraan Tuanku, baginda tidak mengetepikan insan-insan di dalam penjara dan tempat-tempat koreksional.
“Tuanku amat terkesan dengan keadaan mereka dan menzahirkan harapan agar mereka dapat memperbaiki diri serta mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sumbangan makanan itu melibatkan empat institusi penjara iaitu Penjara Tapah (4,300 prospek), Penjara Taiping (1,700 prospek), Pusat Koreksional Kamunting (1,400 prospek) dan Pusat Koreksional Batu Gajah (950 prospek). – UTUSAN










