TELUK INTAN: Pemilik rumah yang pernah menjadi kediaman seniwati tersohor negara, Allahyarham Norizan, mahu rumah berkenaan terus tersergam sebagai menghargai legasi pelakon itu.
Kediaman dibina tahun 40-an itu dikatakan hadiah daripada Almarhum Sultan Perak ke-32, Sultan Yussuf Izzuddin Shah, kepada Norizan selepas perkahwinan mereka. Bagaimanapun, ia ditinggalkan Norizan selepas berpisah dan berkahwin dengan P. Ramlee.
Najlil Hayati Abdullah, 61, pemilik rumah, mendedahkan premis itu dibuka untuk jualan namun tiada pembeli. “Sudah berpuluh-puluh orang hendak membelinya, tapi semua gagal. Mungkin belum masanya lagi. Biar rumah seniwati Norizan kekal dengan semula jadinya,” katanya.
Penduduk tempatan, Syawal Abu Bakar, 60, berkata rumah terletak di Jalan Syed Abu Bakar berdekatan Istana Lama masih menjadi tumpuan pelancong dan perlu dikekalkan.
“Usahlah dijual kerana ia boleh dijadikan warisan. Rumah ini pernah dijadikan lokasi penggambaran drama dan ia satu-satunya kenangan kami di Teluk Intan selain Istana Lama,” katanya.
Najlil berkata, walaupun ada individu berminat membeli rumah itu, tiada transaksi berjaya dan rumah kekal dalam keadaan asal.
Rumah berkenaan bukan sahaja memiliki nilai sejarah, malah simbol budaya dan nostalgia tempatan. Penduduk setempat menyeru kawasan persekitarannya dijaga rapi, bersih daripada semak dan terus menjadi daya tarikan pelancong. – UTUSAN










