PETALING JAYA: Ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.14 hingga RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini selepas mata wang tempatan itu mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun pada RM4.12, minggu lalu.
Kenaikan ketara tersebut turut membawa penanda teknikal menunjukkan ringgit berada pada paras terlebih beli, sekali gus mencetuskan fasa pembetulan yang kini mula kelihatan di pasaran.
Pada pukul 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1570/1705 berbanding dolar AS daripada penutup kelmarin pada 4.1605/1660, sebelum mengakhiri dagangan semalam pada 4.1480/1550.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pembetulan itu merupakan pergerakan sihat dan dijangka, memandangkan pengukuhan ringgit sejak beberapa minggu lalu berlaku agak pantas.
“Namun begitu, prospek pengukuhan ringgit dalam jangka terdekat kekal tidak terjejas.
“Antara faktor utama yang terus menyokong asas ringgit ialah jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, yang dilihat berpotensi melemahkan dolar AS dan mengukuhkan mata wang serantau termasuk ringgit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, langkah konsolidasi fiskal kerajaan Malaysia terus memberi keyakinan kepada pelabur.
“Data terkini menunjukkan defisit fiskal negara mengecil kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding 4.1 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu mencerminkan pengurusan fiskal yang lebih berdisiplin dan berkesan,” katanya.
Tambahnya, kombinasi faktor luaran dan domestik ini akan terus menyokong momentum ringgit, dengan pasaran kini memberi perhatian kepada data ekonomi global serta perkembangan dasar monetari AS dalam minggu-minggu mendatang.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka terus didagangkan dalam julat RM4.12 hingga RM4.15 minggu ini, selaras dengan usaha pasaran untuk menstabilkan semula pergerakan mata wang tempatan selepas kenaikan mendadak yang direkodkan minggu lalu.
Katanya, sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan jangkaan awal bahawa pemotongan kadar faedah oleh Fed yang sebelum ini dijangka berlaku pada Disember, berkemungkinan besar ditangguhkan ke 2026.
“Perubahan jangkaan ini mengukuhkan dolar AS dan terus memberi tekanan ke atas mata wang global lain termasuk ringgit.
“Bagaimanapun, tumpuan utama pasaran minggu ini adalah kepada statistik ekonomi terbaharu AS, yang dijangka lebih lengkap dan tepat berbanding laporan sebelum ini.
“Data terdahulu dianggap tidak menyeluruh berikutan pembekuan belanjawan kerajaan AS selama lebih 30 hari, yang menyebabkan ramai kakitangan awam persekutuan diberhentikan sementara sehingga Dewan Senat meluluskan peruntukan baharu minggu lalu,” katanya.
Jelasnya, laporan ekonomi baharu ini dijangka menyediakan gambaran sebenar tentang kedudukan ekonomi AS termasuk kadar inflasi dan pengangguran, sekali gus mempengaruhi hala tuju dasar monetari Fed.
“Data yang lebih komprehensif itu mungkin membuka semula ruang kepada perubahan jangkaan terhadap keputusan kadar faedah Fed bagi mesyuarat Disember, yang seterusnya akan menentukan arah pergerakan dolar AS dan ringgit dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN









