MELAKA: Ribut Tropika Senyar yang melanda perairan Selat Melaka merekodkan kematian pertama di negara ini selepas seorang penunggang motosikal maut akibat melanggar pokok tumbang di Jasin dekat sini, awal pagi tadi.
Fenomena alam itu turut mencetuskan insiden runtuhan struktur pelantar membabitkan lapan mangsa di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Sri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, mangsa berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia selepas merempuh sebatang pokok tumbang di Jalan Selandar menghala ke Machap pada pukul 6.57 pagi tadi.
“Terdapat juga kes runtuhan struktur pelantar minyak di Port Dickson yang melibatkan lapan orang pekerja, namun kesemua mereka dilaporkan selamat.
“Insiden kematian di Jasin ini menjadi bukti bahawa ancaman ribut masih berbahaya walaupun Senyar telah diturunkan taraf,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Hari Integriti JBPM 2025 di Ayer Keroh, hari ini.
Nor Hisham berkata, secara keseluruhan sebanyak 49 kes pokok tumbang direkodkan di lima negeri iaitu Negeri Sembilan (33), Melaka (8), Selangor (5), Putrajaya (2) dan Perak (1).
Katanya, penurunan status Ribut Tropika Senyar kepada ribut atau sistem tekanan rendah oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tidak bermakna risiko keselamatan awam telah berakhir sepenuhnya.
“Walaupun Senyar diturunkan taraf, kita tidak boleh menganggap keadaan sudah selamat sepenuhnya kerana tanah masih lembut akibat hujan berterusan sebelum ini.
“Situasi ini meningkatkan risiko kejadian susulan seperti pokok tumbang, tanah runtuh dan mendapan cerun,” katanya.
Beliau berkata, kejadian pokok tumbang berlaku apabila struktur tanah di kawasan beriklim Tropika menjadi rapuh akibat menerima hujan berintensiti tinggi dalam tempoh lama.
Katanya, semua jentera dan aset operasi termasuk bot penyelamat serta kenderaan khas telah berada dalam keadaan siap siaga di negeri-negeri yang dikenal pasti berada dalam laluannya.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti di kawasan berisiko seperti sungai, air terjun, kawasan rekreasi serta jalan raya yang berlorek besar sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan diminta tidak mengambil mudah perubahan status cuaca dan terus memperketat pemantauan di lokasi-lokasi berisiko tinggi. – UTUSAN










