PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut tropika selepas mengesan satu sistem cuaca aktif berhampiran perairan negara.
Ribut tersebut dikesan pada Latitud 3.6° Utara dan Longitud 99.9° Timur, dan dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan sekitar 24 kilometer sejam (km/j).
MET Malaysia memaklumkan, sistem berkenaan berpotensi membawa angin kencang sehingga 56 km/j selain menyebabkan hujan lebat berterusan, laut bergelora serta cuaca tidak menentu di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia.
Keadaan itu dijangka memberi impak besar kepada penduduk di kawasan pantai, nelayan, pengguna bot kecil dan komuniti yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
Sehubungan itu, orang ramai disaran mengambil langkah berwaspada dan membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir kilat, tanah runtuh serta gangguan terhadap aktiviti harian.
MET Malaysia turut menasihatkan orang ramai supaya mengikuti perkembangan semasa melalui laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca, saluran media sosial atau menghubungi talian hotline di 1-300-22-1638 bagi mendapatkan maklumat terkini. – UTUSAN










