PETALING JAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Yayasan TM (YTM) terus memperkukuh sosioekonomi komuniti luar bandar menerusi program Rural Empowerment and Community Help 2.0 (REaCH 2.0) yang menggabungkan universiti, industri, agensi kerajaan dan penduduk setempat.
Usaha itu menumpukan kepada pendekatan pendidikan, keusahawanan, inovasi teknologi hijau serta kelestarian alam sekitar bagi meningkatkan daya tahan ekonomi dan sosial masyarakat.
Ketua Projek REaCH 2.0, Profesor Madya Dr. Nur Kamaliah Mustaffa berkata, program itu menggabungkan kepakaran akademik, sokongan industri dan penglibatan komuniti setempat bagi memperkukuh ekonomi, sosial serta kemahiran keusahawanan masyarakat desa.
Katanya, usaha itu merupakan kesinambungan program REaCH 1.0 yang diadakan di Kuala Terengganu sebelum ini dengan pelbagai latihan dan projek komuniti yang dirangka selaras 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Penganjuran Festival Perpatih REaCH 2.0 bukan sekadar meraikan warisan budaya melalui aktiviti sukaneka dan pameran, tetapi merupakan satu platform inklusif yang menyatukan universiti, industri, agensi kerajaan, sekolah serta komuniti tempatan dalam semangat ‘Perkongsian Ilmu dan Kelestarian Komuniti’ yang perlu diteruskan.
“Sebagai kemuncak kepada keseluruhan inisiatif tersebut, Festival Perpatih diadakan di Sekolah Kebangsaan Pasir Ambor, menjadi medan meraikan kejayaan projek komuniti di bawah REaCH 2.0 dan mengukuhkan semangat muafakat antara penduduk pelajar serta rakan kolaborasi,” katanya.
Perasmian program disempurnakan oleh Exco Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Datuk Bibi Harliza Mohd. Khalid.
Datuk Ismail Lasim dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan kolaborasi seperti program REaCH 2.0 dalam membangunkan masyarakat desa.
“Program ini membuktikan apabila sektor awam, akademia dan industri berganding bahu, hasilnya memberi kesan besar kepada rakyat. Ia bukan sahaja menyediakan kemudahan, tetapi membina keyakinan dan semangat berdikari dalam kalangan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina berkata, pihaknya komited menyokong pembangunan komuniti melalui inisiatif berasaskan pendidikan dan teknologi yang mampan.
“Kami berhasrat untuk terus membantu masyarakat luar bandar membina keupayaan baharu, sama ada dalam keusahawanan, pembelajaran digital atau amalan lestari.
“Matlamatnya ialah supaya komuniti dapat berkembang dengan sumber dan ilmu yang mereka miliki sendiri,” katanya. – UTUSAN









