Razman kekal Ketua Pembangkang DUN Perak - Utusan Malaysia

Razman kekal Ketua Pembangkang DUN Perak

MOHAMMAD Zahir Abdul Khalid (tengah) ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria kekal memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang bagi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 yang dijadual bermula pada 25 November ini.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, Razman dibenarkan untuk menghadiri persidangan DUN itu selepas tempoh penggantungannya berakhir pada Oktober lalu.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang notis untuk menukar Ketua Pembangkang DUN Perak.

“Tempoh penggantungan Razman telah pun tamat pada Oktober lalu, kemudian dia akan kembali (ke Sidang DUN). Saya telah pun dimaklumkan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Pembangkang DUN.

“Setakat ini, tiada sebarang cadangan untuk menukar Ketua Pembangkang dalam DUN Perak. Razman akan kembali memegang jawatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mohammad Zahir berkata, insiden penggantungan terhadap Razman perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak termasuk beliau sendiri selaku Speaker DUN Perak.

Menurut beliau, setiap ahli dewan perlu memelihara adab dan tertib sepanjang persidangan berlangsung bagi memastikan urusan dewan berjalan dengan baik dan berlandaskan peraturan yang ditetapkan.

“Walaupun kita mempunyai imuniti atau kekebalan di dalam dewan, tapi itu tidaklah menghalang daripada kita diambil tindakan sekiranya terbabas dan melampaui batas.

“Dewan bukanlah tempat untuk mencetuskan kontroversi sebaliknya wadah untuk menjalankan tanggungjawab dengan tertib dan berhemah,” katanya.

Razman digantung daripada menghadiri persidangan DUN selama selama enam bulan berkuat kuasa 16 April lalu selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.

Keputusan penggantungan itu diumumkan Mohammad Zahir selepas majoriti anggota DUN bersetuju terhadap usul memperakukan laporan jawatankuasa berkenaan yang bersidang pada 14 April lalu.

Keputusan berkenaan dibuat susulan kenyataan Razman berhubung insiden bendera negara China semasa acara Teluk Intan pada 24 Oktober lalu 2024. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN