Terus terang, Cik Bunga tidaklah mahu menyebelahi sesiapa. Tetapi kalau menyentuh isu antara pasangan suami isteri, Uqasha Senrose dan Kamal Adli, Cik Bunga tengok macam-macam spekulasi dan andaian yang terbit daripada pandangan warganet.
Tanpa sebarang kenyataan rasmi pun, warganet sudah terlebih dahulu bergerak sebagai ‘peguam bela’ buat Kamal. Ada yang seakan jelas menperlihatkan yang mereka ini ‘Team Kamal’.
Tetapi itu bukanlah bermaksud tiada orang yang cuba memahami situasi atau perasaan Uqasha sebagai isteri dan ibu. Cuma entah kenapa, dalam hal ini, nampak ramai simpati dengan Kamal, mungkin mereka ada pandangan sendiri.
Di TikTok dan X, apa sahaja video atau gambar Kamal terus dihujani komen simpati. Ramai mendakwa mereka dapat melihat perubahan pada wajahnya kononnya tampak penat, redup, dan menyimpan sesuatu yang berat dalam hati.
Ada Cik Bunga perasan, yang menulis, Kamal ini dah tahap suami contoh. Kalau betul dia diuji, memang tak patut jadi dekat dia. Sokongan untuknya bukan sedikit, malah semakin bertambah setiap jam.Umpamanyalah…
Tidak cukup dengan itu, warganet mula mengungkit kembali watak Budin yang pernah melonjakkan nama Kamal sebelum ini.
Ramai berseloroh mengatakan Kamal seperti ‘diburu’ badi Budin apabila nasib watak itu dikaitkan dengan apa yang mereka rasa sedang dilalui aktor berkenaan.
Dalam ramai-ramai yang bersimpati, ada juga peminat yang tampil mengingatkan bahawa apa sahaja spekulasi belum tentu benar. Itu betul. Cuma iyalah kan, nada majoriti tetap condong ke arah Kamal.
Mereka melihatnya sebagai lelaki yang jarang mencetuskan kontroversi dan selalu menunjukkan sisi matang, membuatkan ramai rasa dia tidak layak melalui apa-apa tekanan yang sedang diperkatakan itu.
Kita mahu cakap lebih-lebih pun tidak boleh. Rumah tangga mereka, merekalah yang lebih tahu asam garamnya. Betul tak? Tak kisahlah Budin ke bukan Budin ke, apa pun, ini ujian buat Kamal dan Uqasha.
Cik Bunga harap kedua-dua mereka boleh berbaik semula dan perbaiki hubungan suami isteri. Sayang kalau tidak begitu
kerana Kamal dan Uqasha memang nampak secocok bersama.










