TUMPAT: Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini diperketat susulan insiden rakyat negara ini yang maut ditembak di Sungai Golok, Thailand petang semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, arahan itu sudah diberikan kepada pegawai dan anggota yang melaksanakan tugas mengawal sempadan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
“Ia merangkumi pemeriksaan di semua sekatan jalan raya sebagai langkah berjaga-jaga.
“Bukan melibatkan kes ini sahaja, tetapi lain-lain bagi memastikan keselamatan sempadan negara di tahap terbaik,” katanya pada majlis serah terima tugas di Markas Kompeni Taktikal (Martek) PGA di Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, rakyat Malaysia yang parah selepas dipercayai ditembak sebanyak lapan kali dalam kejadian di Sungai Golok, Thailand meninggal dunia malam tadi.
Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, menghembuskan nafas terakhirnya semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Golok pada pukul 9 malam. – UTUSAN










