Selepas kejayaan single sulung “Korban Rindu” yang mencecah lebih 1 juta tontonan di YouTube, penyanyi cilik berusia 14 tahun, Putera Bobo, kembali dengan single kedua berjudul “Kisah Hidupku”, ciptaan bersama ibunya, Elyani Queen dan komposer terkenal, Eddie Hamid.
“Kisah Hidupku” merupakan karya yang sudah lama dihasilkan oleh Elyani, malah sebahagian lirik lagu tersebut pernah tular di media sosial sejak lima bulan lalu. Menurut Elyani, lagu tersebut ditulis berdasarkan realiti kehidupan ramai anak muda yang datang daripada keluarga susah.
“Saya hasilkan lagu ini berdasarkan kisah hidup yang ramai orang lalui. Ramai melalui kesusahan sebelum berjaya. Putera hanya menjadi wakil untuk menyampaikan mesej itu,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa lagu tersebut pada awalnya hanya siap separuh sebelum disambung setelah mendapat galakan daripada Eddie Hamid.
“Abang Eddie kata lagu itu sedap, jadi kami teruskan bersama-sama hingga siap sepenuhnya,” katanya.
Proses rakaman dibuat pada pertengahan Oktober di Studio SSR, manakala video muzik pula dirakam di kampung halaman mereka di Jerteh, Terengganu.
Sementara itu, Eddie Hamid yang juga penerbit lagu ini berkata, walaupun lagu tersebut hanya lengkap satu rangkap ketika dihantar, ia sudah cukup kuat untuk menarik perhatiannya.
“Melodi dan liriknya menyentuh hati. Saya setuju jadikan ia single kedua Putera Bobo. Tidak ada masalah ia didendangkan dalam dialek Kelantan, yang penting mesejnya sampai,” katanya.
“Kisah Hidupku” diterbitkan oleh Kijang Music dan diedarkan oleh Nova Music Malaysia, dan sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital. Video muzik rasmi lagu tersebut juga kini turut boleh ditonton melalui saluran YouTube Nova Music Videos.










