SERAMAI enam murid tempatan mencatat kenangan membanggakan apabila meraih emas dalam acara International Mathematics and Science Olympiad (IMSO) 2025 kali ke-22 yang diadakan di Universiti Antarabangsa Albukhary, Alor Setar baru-baru ini.

Marcus Wan Shad Fann; Muhammad Amirul Mustaqeem Shamsudin dan Robin Yap Jung Joon, masing-masing berusia 12 tahun meraih emas bagi kategori Sains sementara Benjamin Chew; Chong Enn dan Leong Jayden juga berusia 12 tahun bagi Matematik.
Muhammad Amirul Mustaqeen, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Height, Jitra berkata, dia tidak menyangka meraih anugerah tersebut walaupun namanya tersenarai di saat-saat akhir.

“Ujian kelayakan saya rendah dan hampir putus asa tetapi apabila dipanggil untuk turut serta saya pulun buat terbaik sehingga mampu meraih markah yang agak tinggi bagi anugerah emas ini. Alhamdulillah berada dalam 10 terbaik bersama peserta senegara.
“Soalan yang diberikan pun dikatakan seperti peperiksaan tingkatan enam tetapi Alhamdulillah saya berjaya,” katanya ketika ditemui pada majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah IMSO di sini, baru-baru ini.
Jayden dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Seri Kembangan memberitahu, meraih anugerah emas itu membangkitkan semangatnya untuk cemerlang dalam akademik di peringkat menengah nanti.
“Paling sukar adalah ketika perlu menulis esei dan soalan sangat susah serta banyak kiraan namun hasil latih tubi mengulangkaji sebelum ini, saya berjaya jawab dengan cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Malaysia turut mencatat sejarah apabila menjadi penganjur terbesar IMSO yang melibatkan 400 pelajar sekolah rendah dari 23 buah negara seluruh dunia.
Pengerusi IMSO, Dr. Raden Ridwan Hasan Saputra berkata, pertandingan itu kali pertama diadakan pada 2003 yang bertujuan menarik minat pelajar dan murid dalam subjek Sains serta Matematik.
“IMSO sentiasa mengikuti perkembangan zaman atau yang kita panggil Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) iaitu bagi Matematik kita banyak eksplorasi dan bidang Sains banyak eksperimen.
“Jadi selalu ada informasi terbaru yang menjadi alat untuk program di IMSO sehingga pelajar perlu terus belajar,” katanya.
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat pula menyifatkan pendedahan awal kepada murid melalui pertandingan itu boleh memupuk minat mereka untuk terus mendalami aliran Sains dan Matematik atau STEM.
“Di sini kita nampak pembudayaan boleh berlaku memandangkan murid masih di sekolah rendah dan apabila mereka masuk peringkat menengah nanti kita sangat mengharapkan Sains, Matematik atau STEM menjadi pilihan utama mereka,” katanya.
Bagi seorang perserta daripada Thailand Warit Utanwutipong, dia berbangga ketika melihat anaknya bersaing dengan peserta terbaik dari seluruh dunia.
“Saya rasa pengalaman ini dapat menjadikannya lebih yakin dan bangga dengan dirinya sendiri, malah ia juga penting untuk masa depannya,” katanya. – UTUSAN










