Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan program signature agensi berkenaan dalam membudayakan amalan penabungan dan mempromosikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.
Program tersebut bermula pada 26 September hingga 2 November lalu dan tahun ini merupakan tahun kelapan penganjurannya sejak tahun 2018.
Ia adalah salah satu usaha untuk menyebar luas manfaat SSPN kepada masyarakat sempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
PTPTN baru-baru ini mengadakan majlis penutup BMS 2025 di ibu negara yang disempurnakan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, dan Ahli-ahli Lembaga Pengurusannya iaitu Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Husna Abdul Rahman, Datuk Norasni Ayob dan Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
Bertemakan Pengembaraan (Adventures) dan mengekalkan tagline “Jom Jadi Superhero Anak Anda”.
Tema tersebut amat bertepatan kerana kehidupan dan pendidikan anak adalah sebuah pengembaraan yang penuh cabaran dan penemuan baharu.
Simpanan merupakan simbol kasih sayang, tanggungjawab dan harapan agar anak-anak dapat melangkah lebih jauh, lebih berani dan lebih yakin dalam mengejar impian pendidikan mereka.
Penganjuran BMS 2025 mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang hadir sepanjang program berlangsung.
Pelbagai aktiviti menarik untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya Pertandingan Mewarna, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam, Jenga Family
Competition, Memory Challenge, Kotak Misteri, Kuiz Online dan Sembang BMS.
Orang ramai juga boleh berkunjung ke kaunter PTPTN untuk mendapatkan tabung edisi khas BMS dan cenderahati eksklusif yang menarik melalui penabungan dalam SSPN.
Norliza berkata, BMS 2025 menerima sambutan yang amat menggalakkan di seluruh negara. Sepanjang tempoh pelaksanaan BMS 2025, kutipan deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah
RM222.29 juta, iaitu pencapaian 101.04 peratus berbanding sasaran kutipan sebanyak RM220 juta.
PTPTN kekal optimis program BMS catat kejayaan dan prestasi membanggakan
Kutipan deposit sempena Bulan Menabung Simpan SSPN BMS 2025 akan terus meningkat dan mencatatkan prestasi yang lebih membanggakan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada PTPTN atas kejayaan cemerlang ini. Pencapaian tersebut amat membanggakan dan jelas membuktikan bahawa BMS 2025 merupakan program berimpak tinggi dalam menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat.
Pada majlis penutup BMS 2025, PTPTN dengan kerjasama Bank Islam turut memperkenalkan Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN yang membolehkan pelanggan menikmati pulangan tunai apabila menggunakan kad tersebut untuk pembelian runcit dan atas talian dalam transaksi domestik serta luar negara.
Menariknya, pelanggan yang membuat simpanan dalam Simpan SSPN dan membuat bayaran balik pinjaman PTPTN menggunakan kad ini turut berpeluang menikmati pulangan tunai.
Pulangan tunai yang diterima boleh dipindahkan ke akaun Simpan SSPN sebagai simpanan atau akaun pinjaman sebagai bayaran balik. Antara kelebihan kad tersebut adalah, ia boleh diintegrasikan dengan akaun SSPN Prime bagi memudahkan urusniaga ATM termasuk pindahan.
Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2025 dan penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent.
PTPTN turut mempersembahkan tayangan muzik video lagu Simpan SSPN “Terbang Tinggi”. Lagu ini telah dilancarkan semasa Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) tahun lalu dan kini diperkasakan lagi melalui penghasilan muzik video bagi melambangkan komitmen PTPTN dalam menyemarakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.
Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung melalui Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman. PTPTN yakin dengan sokongan semua pihak, visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara dapat direalisasikan. Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. –UTUSAN










