Jabatan Pengajian Am Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar berganding bahu menganjurkan Program Bicara Inspirasi Anak Muda: Dari Rembau ke Dewan Negara yang telah diadakan di Dewan Kuliah 4, Politeknik Port Dickson baru-baru ini.
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Am, Umi Syahidah Anuari berkata objektif utama program bertujuan untuk mencetuskan inspirasi dan motivasi kepada pemimpin pelajar khususnya dalam menerajui kepimpinan dan kecemerlangan organisasi melalui perkongsian bersama tokoh masyarakat.
“Menerusi program ini, kami telah mengundang khas seorang Ahli Dewan Negara Senator Dr. Jufitri Joha berkongsi pengalaman hebat, kepakaran dan pengetahuan luas beliau di lapangan bersama masyarakat dan aktiviti sukarelawan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Sesi bual bicara berlangsung dua jam lebih itu dikendalikan Exco Jawatankuasa Perwakilan Pelajar iaitu Muhammad Syazwan Ashraf Saparul dan Fatimah Az-Zahraa’ Zolkple sebagai moderator.
Program tersebut mendapat sambutan hangat apabila lebih daripada 100 orang peserta terdiri daripada kalangan pemimpin pelajar empat peringkat iaitu Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman, Rakan Pusat Islam dan Pembimbing Rakan Sebaya. – UTUSAN










