TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor tampil berbaju melayu berwarna ungu ketika hadir untuk penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman di Dewan Seri Sulaman, pagi ini.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah merupakan calon terakhir yang tiba kira-kira 8.50 pagi, diiringi lautan penyokong berpakaian serba putih sambil melaungkan slogan ‘rumah kita, kita jaga’ yang menghangatkan lagi suasana pekarangan dewan.
Kehadiran beliau dengan sokongan besar itu turut memberi gambaran awal tentang keyakinan GRS mempertahankan kerusi DUN Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Terdahulu, lebih 500 penyokong daripada pelbagai parti politik sudah pun berhimpun seawal 6.30 pagi untuk memeriahkan suasana menjelang proses penamaan calon yang dijadual bermula pukul 9 pagi.
Dewan Seri Sulaman menjadi pusat penamaan calon bagi DUN Sulaman, DUN Pantai Dalit, DUN Tamparuli dan DUN Kiulu, sekali gus menarik kehadiran besar penyokong yang hadir bagi memberikan sokongan moral kepada calon masing-masing.
Pada 6 Oktober lalu, DUN Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. -UTUSAN










