KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kejadian seorang wartawan sukan, Haresh Deol diserang dua individu dalam satu insiden di Bangsar, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Hoo Chang Hook berkata, pihaknya telah menerima laporan dari Haresh mengenai insiden itu yang dibuat di Pondok Polis Bangsar.
“Saya sahkan Haresh membuat laporan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Haresh Deol menerusi hantar di laman X hari ini memaklumkan mengenai insiden itu.
Katanya, beliau diserang dua individu dan seorang lagi individu membuat rakaman video kejadian berkenaan.
Wartawan portal berita Twentytwo13news itu turut memaklumkan dia telah membuat laporan polis mengenai insiden itu.
Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam hantaran di Facebook memaklumkan mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan berkenaan yang dilakukan ketika beliau sedang menjalankan tugasan kewartawanan.
“Tindakan ganas dan cubaan mengintimidasi wartawan atas kapasiti profesional adalah perbuatan tidak bertamadun serta bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang dijamin di dalam sistem demokrasi.
“Serangan fizikal terhadap seorang wartawan bukan sahaja mengancam keselamatan individu, tetapi juga menjejaskan hak orang awam untuk menerima maklumat tepat serta bebas tekanan,” jelasnya.
Geramm turut menggesa polis melaksanakan siasatan siasatan insiden itu, mengambil tindakan tegas terhadapan pelaku dan memastikan keselamatan wartawan ketika bertugas melaporkan isu-isu berkepentingan awam.
“Geramm juga menyeru semua pihak, termasuk pemimpin politik dan masyarakat umum, untuk menghormati peranan wartawan sebagai penyampai maklumat dan bukannya menjadikan mereka sasaran ancaman atau serangan,” katanya. – UTUSAN











