Polis Bantuan UPM 'wira senyap' pastikan kesempurnaan Majlis Konvokesyen

Polis Bantuan UPM ‘wira senyap’ pastikan kesempurnaan Majlis Konvokesyen

UPM
Polis Bantuan UPM merupakan wira senyap yang tidak kelihatan di depan kamera namun menjadi tulang belakang kelancaran sepanjang majlis konvokesyen berlangsung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Di sebalik debaran ribuan graduan yang melangkah masuk ke Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Polis Bantuan UPM merupakan wira senyap yang tidak kelihatan di depan kamera namun menjadi tulang belakang kelancaran sepanjang majlis konvokesyen berlangsung.

Walaupun majlis bermula seusai matahari pagi kelihatan, tetapi anggota Polis Bantuan memulakan operasi jauh lebih awal. Tepat jam 4.45 pagi, seluruh pasukan berkumpul bagi sesi roll call, solat Subuh dan sarapan sebelum turun ke lapangan.

Pengarah Pusat Polis Bantuan dan Keselamatan Universiti (APSeC), DSP/KS Norazlan Mohammed berkata, pasukan bergerak ke lokasi sekitar pukul 6.15 pagi setiap hari bagi membuka operasi keselamatan di seluruh kawasan kampus.

UPM
Norazlan Mohammed berkata, pasukan Polis Bantuan akan bergerak ke lokasi sekitar pukul 6.15 pagi setiap hari bagi membuka operasi keselamatan di seluruh kawasan kampus.

“Kami adalah individu pertama yang memulakan operasi dan individu terakhir meninggalkan kawasan apabila semua tetamu bersurai. Lazimnya, tugas kami hanya selesai hampir pukul 3 petang bagi memastikan seluruh kawasan berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Menurut beliau, kawalan keselamatan bermula dari luar kampus dengan anggota ditempatkan di setiap simpang dan parkir untuk memastikan pergerakan kenderaan lancar serta membantu warga emas dan OKU menuju ke dewan tanpa kesulitan.

Di dalam dewan pula, Polis Bantuan memastikan semua tetamu memasuki ruang masing-masing sebelum waktu ditetapkan, termasuk menyelaras pergerakan tetamu kehormat dan memastikan laluan utama dikosongkan sebelum ketibaan mereka.

“Salah satu tugas paling kritikal ialah memastikan laluan dikosongkan sepenuhnya sebelum keberangkatan tiba Tuanku Canselor. Kami menyediakan sokongan melalui pemantauan CCTV, kawalan kawasan dan koordinasi laluan. Semua ini perlu dilakukan tepat dalam tempoh 15 minit tanpa sebarang kesilapan,” katanya.

Katanya, cabaran terbesar bukan hanya ketika majlis berlangsung, tetapi selepas majlis berakhir apabila pergerakan tetamu menjadi lebih dinamik dengan keluarga bergambar, graduan mencari rakan dan penjual bunga cuba mendekati kawasan yang dihadkan.

“Cabaran lebih sukar juga apabila ada yang enggan mematuhi kawalan lalu lintas. Ketika inilah kesabaran, ketegasan dan kemahiran mengurus orang ramai benar-benar diuji,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab Polis Bantuan jauh lebih besar daripada apa yang dilihat orang ramai.

“Kami bukan sekadar pasukan keselamatan. Kamilah barisan hadapan setiap kali berlaku kecemasan dan penghubung komunikasi antara lapangan serta pusat kawalan. Seluruh perjalanan konvokesyen perlu bergerak tepat seperti dirancang tanpa menjejaskan keselamatan ribuan tetamu,” katanya.

Walaupun tugasan kelihatan tegas, wujud sisi kemanusiaan yang mengikat pasukan itu setiap tahun. Antara rutin paling bermakna ialah sarapan awal pagi bersama yang menjadi simbol kesatuan dan pengorbanan mereka.

Pada hari sebenar majlis, seluruh pasukan yang biasanya jarang bertemu dalam tugasan harian berkumpul sebagai satu keluarga besar, membawa misi sama dengan memastikan kelancaran hari paling bersejarah buat setiap graduan UPM.

Setiap detik indah yang berlaku di dalam dewan, hakikatnya lahir daripada usaha ratusan individu yang bekerja tanpa henti di luar perhatian umum. Polis Bantuan UPM kekal sebagai wira senyap yang memastikan majlis konvokesyen berlangsung dengan tertib dan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN