PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperincikan rayuan berkaitan keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas Negeri Sabah di Dewan Rakyat esok.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah memutuskan secara konsensus untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil itu.
“Semalam jemaah menteri ada mesyuarat khas mempertimbangkan keputusan penghakiman Kota Kinabalu dan keputusan kita (dibuat) setelah berunding berjam-jam mendengar pandangan dan usul daripada setiap menteri.
“Dan kita memutuskan secara konsensus dan soal 40 peratus yang ikut 112CD (Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan) dan juga pertimbangan tentang keputusan, itu tidak kita rayu.
“Tetapi, keputusan penghakiman yang kita rayu akan saya jelaskan di Parlimen esok secara lebih terperinci,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini tadi.
Semalam, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Jabatan Peguam dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.
Dalam mesyuarat bersama ahli Kabinet semalam, Peguam Negara turut memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.
Antara dakwaan itu ialah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan Perlembagaan.
Lantaran itu, Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










