PM kecam tindakan serang wartawan

PM kecam tindakan serang wartawan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan beberapa individu yang melakukan serangan ke atas seorang wartawan kanan sukan, Haresh Deol di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, Anwar turut menegaskan insiden berkenaan tidak seharusnya berlaku terhadap mana-mana wartawan.

“Ini adalah kejadian yang tidak patut berlaku kepada mana-mana wartawan terutama apabila mereka menjalankan tugas.

“Kita juga serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan penuh,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Pada Selasa lalu, dilaporkan Haresh yang juga Naib Presiden National Press Club dan pengasas organisasi berita Twentytwo13 diserang dua lelaki berpakaian hitam di Bangsar.

Serangan itu kemudiannya menerima kecaman meluas, termasuk daripada Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Majlis Media Malaysia (MMC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pasukan sukarelawan Malaysia di Hatyai, Thailand, telah menamatkan operasi mereka pada malam tadi, selepas lima hari terlibat menyelamatkan mangsa rakyat Malaysia.

“Pasukan sukarelawan seramai 45 anggota terdiri daripada sukarelawan dari Johor, Perak, Selangor dan beberapa pasukan dari negeri di utara Semenanjung, mereka telah pulang ke tanah air pada hari ini,” ujarnya.

Sebelum ini, operasi menyelamat pasukan sukarelawan Malaysia di Hatyai, Thailand, terpaksa dihentikan berikutan arahan tentera Thailand yang mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai berbahaya dan tidak lagi selamat dimasuki.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan pada hari memaklumkan, seramai 1,459 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari lebih 25 hotel di Hatyai selepas banjir besar melanda kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN