PETRONAS pemangkin generasi berilmu

PETRONAS pemangkin generasi berilmu

INISIATIF memajukan bidang pendidikan negara yang dijalankan oleh PETRONAS membantu dalam mengubah masa depan pelajar berbakat yang datang dari segenap pelosok negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN yang berkualiti menjadi asas kepada pembangunan modal insan yang mampu memacu transformasi sosial dan ekonomi secara mampan. Dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan negara, PETRONAS tampil sebagai pemangkin melalui insiatif tajaan pendidikan yang menyeluruh dan berimpak tinggi.

Tahun ini, PETRONAS menganugerahkan tajaan pendidikan kepada lebih 650 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 daripada pelbagai latar belakang.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin, menyampaikan tajaan tersebut kepada para penerima dalam majlis yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Ruslan berkata, “Tajaan ini lebih daripada sekadar bantuan kewangan yang membuka peluang untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di dalam dan luar negara. Ia adalah peluang untuk meluaskan dan mendalami ilmu pengetahuan serta melengkap diri untuk kembali berbakti kepada masyarakat.”

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat terhadap pendidikan, sebanyak RM319 juta diperuntukkan bagi membantu pelajar yang layak melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang akademik.

KOMITMEN DI SABAH DAN SARAWAK

PETRONAS turut menyalurkan tajaan pendidikan kepada lebih 100 pelajar Sarawak di bawah inisiatif Powering Knowledge.

PETRONAS turut menyalurkan tajaan pendidikan berjumlah RM28 juta kepada lebih 100 pelajar Sarawak dan jumlah sama juga diberikan kepada pelajar cemerlang dari Sabah di bawah inisiatif Powering Knowledge.

Antara bidang pengajian utama yang ditawarkan termasuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, pemasaran dan kursus relevan lain di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta institusi terkemuka di United Kingdom, Australia, Jepun dan Korea Selatan.

Inisiatif ini melatih penerima dalam kemahiran kepimpinan, komunikasi dan daya tahan diri sebagai persediaan menghadapi dunia profesional.

TEKAD UBAH NASIB KELUARGA

IRFAN DANIEL IRWAN

Pesan ibu agar sentiasa berusaha dan menjaga solat menjadi azimat utama buat Irfan Daniel Irwan, 18, hingga membawanya menjejakkan kaki ke menara gading sebagai penerima tajaan pendidikan PETRONAS.

Berasal dari Klang, Selangor, anak sulung daripada tiga beradik ini membuktikan bahawa kesungguhan mampu mengubah nasib walaupun datang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Bapanya bekerja sebagai peladang kelapa sawit, manakala ibunya seorang kerani di Hospital Banting, namun keterbatasan itu bukanlah penghalang.

Mendapat keputusan 9A+ dalam SPM 2024, Irfan kini melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di UTP.

“Sejak tingkatan dua, saya sudah tahu tentang penajaan PETRONAS. Saya ingin buktikan anak peladang juga boleh berjaya dan menyumbang kepada negara,” ujarnya.

ANAK PENGAWAL KESELAMATAN JADI INSPIRASI

JEMIL NURDURRANI JEFRI

Pengorbanan ayah menjadi sumber inspirasi buat Jemil Nurdurrani Jefri, 18, anak sulung daripada enam beradik berjaya memperoleh tajaan pendidikan PETRONAS.

Dengan keputusan 9A+, anak jati Alor Setar, Kedah ini menganggap penajaan PETRONAS menjadi simbol kepercayaan kepada potensi pelajar untuk melangkah lebih jauh.

“Saya boleh fokus sepenuhnya kepada pelajaran tanpa membebankan ibu bapa. Ibu menitiskan air mata sebaik mengetahui saya mendapat tawaran ini sebab kami bukan keluarga senang. Saya berazam untuk gunakan peluang ini sebaik mungkin,” katanya.

Jemil yang kini mengikuti Program Luar Negara dalam bidang Geologi, Geofizik dan Geosains di Kolej Sunway mengakui bapanya merupakan inspirasi utama untuk mencapai kejayaan.

“Saya mahu balas pengorbanannya dengan membeli rumah untuk ibu bapa saya bila tamat belajar nanti,” ujarnya.

HAMPIR TERLEPAS PELUANG EMAS

T. SHASTHIGEEYAN

Bagi T. Shasthigeeyan, 18, peluang untuk menerima penajaan pendidikan PETRONAS hampir terlepas jika bukan kerana dorongan seorang guru yang memintanya membuat permohonan pada saat akhir.

Kini, pelajar yang memperoleh 11A+ dan 1A dalam SPM 2024 itu menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di UTP.

Anak kepada pemandu lori dan pekerja kilang ini mengakui keluarganya pernah berdepan kesempitan hidup apabila bapanya kehilangan pekerjaan.

Namun bagi Shasthigeeyan, tajaan PETRONAS membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

“Saya hampir berputus asa, tetapi tawaran ini hadir tepat pada waktunya. Ia mengubah kehidupan keluarga kami,” katanya.

IMPIAN JEJAKKAN KAKI KE UTP

SOH YU YUET

Soh Yu Yuet, 18, tidak menyangka impiannya untuk menjejakkan kaki ke UTP akhirnya tercapai selepas terpilih menerima tajaan pendidikan PETRONAS tahun ini.

Pelajar cemerlang SPM 2024 yang berasal dari Kuala Lumpur ini datang daripada keluarga B40, namun tidak pernah menjadikan keadaan itu alasan untuk berputus asa.

“Saya memang berharap untuk ke UTP sebab minat dalam Kejuruteraan Kimia. Kalau ke luar negara, kosnya tinggi jadi saya pilih belajar dalam negara supaya keluarga tidak perlu risau.

“Tajaan ini mengajar saya bila ada usaha dan harapan, pasti ada peluang untuk berjaya walaupun kita datang daripada keluarga biasa,” kongsinya.

PLATFORM MELAHIRKAN PEMIMPIN BERDAYA SAING

PETRONAS turut menyalurkan tajaan pendidikan kepada pelajar cemerlang Sabah di bawah inisiatif Powering Knowledge.

Inisiatif Memperkasa Ilmu menjadi wadah untuk melahirkan generasi pelapis negara yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dan memiliki nilai kepimpinan unggul selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Sejak diperkenalkan pada 1975, inisiatif tajaan pendidikan PETRONAS telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia dengan nilai pelaburan melebihi RM4.2 bilion.

Inisiatif ini turut menyokong Agenda Kelestarian PETRONAS, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berilmu, beretika dan berimpak sosial.

Dengan kesinambungan inisiatif ini, PETRONAS terus membuktikan komitmen dalam membina masa depan pendidikan negara dan melahirkan tenaga kerja profesional bertaraf global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN