Pesawah penggal kepala abang ipar didakwa membunuh

Pesawah penggal kepala abang ipar didakwa membunuh

MOHD. Faizal Awang dibawa untuk menghadapi pertuduhan membunuh abang iparnya di Mahkamah Majistret Jitra, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh abang iparnya, akhir bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Faizal Awang, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Nasir Md. Nayan, 45, di kawasan bendang Kampung Pida 3, Tunjang, di sini kira-kira pukul 6.30 petang hingga 7 petang, 31 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

Pada 31 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan seorang pesawah berusia 45 tahun ditemui maut dalam keadaan mengerikan selepas ditetak dengan parang oleh adik iparnya di kawasan sawah Kampung Pida 3.

Dalam kejadian itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan. Bahagian kepala dijumpai pada jarak kira-kira satu meter dari lokasi badan mangsa.

Suspek selepas kejadian didapati berada di dalam rumahnya dan ditahan polis selepas dipujuk selama kira-kira 15 minit dalam keadaan masih memegang parang.

Hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif dadah, namun keluarga memaklumkan lelaki terbabit mengalami gangguan perasaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN