SUBANG JAYA: Permohonan Permit Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi tahun 2026/1447H akan dibuka dan boleh dibuat secara dalam talian (online).
Ia akan bermula pada 1 Disember 2025 sehingga 21 Disember 2025 melalui laman web rasmi MBSJ di www.mbsj.gov.my atau dengan mengimbas kod QR yang disertakan pada poster rasmi yang dimuat naik di platform media sosial rasmi MBSJ (Facebook, Instagram dan X).
Peniaga yang berminat dikehendaki mendaftar sebagai pengguna my@mbsj sebelum meneruskan permohonan. Proses permohonan akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian mengikut prosedur berikut:
- Pendaftaran sebagai pengguna my@mbsj.
- Muat naik dokumen sokongan yang diperlukan.
iii. Menyelesaikan proses pembayaran permit.
Keutamaan permohonan akan diberikan kepada peniaga atau penduduk yang menetap dalam kawasan pentadbiran MBSJ.
Bagi tahun 2026, MBSJ telah menyediakan 20 lokasi Bazar Ramadan merangkumi 1,207 petak niaga.
Peniaga dinasihatkan untuk membuat permohonan lebih awal sebelum tarikh tutup bagi mengelakkan sebarang kesulitan. MBSJ tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kelewatan permohonan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi MBSJ di www.mbsj.gov.my, platform media sosial rasmi MBSJ atau menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-8026 4324. – UTUSAN










