KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 13 November ini untuk keputusan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid bagi menjadi pencelah dalam permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menghalang wanita itu daripada menguruskan aset luar negara.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat dan Siti Amirah Muhammad Ali yang mewakili SPRM serta peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au bagi pihak Na’imah.
Hakim Muhammad Jamil berkata, beliau perlu masa untuk meneliti dan mempertimbangkan semua isu yang dibangkitkan kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.
Sebelum ini, SPRM memfailkan permohonan ex-parte bagi menghalang balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu atau mana-mana pihak berkaitan daripada menguruskan aset luar pesisir yang didakwa diperoleh di Malaysia dan tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Aset tersebut dikatakan melibatkan empat syarikat di Jersey dengan nilai dianggarkan AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan GBP85 juta (kira-kira RM468 juta). Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Terdahulu, Gurdial berhujah, permohonan SPRM dibuat berdasar siasatan terhadap anak guamnya dan mempunyai kaitan dengan aset milik Na’imah, justeru beliau mempunyai hak untuk mencelah dalam prosiding itu.
“Perintah larangan ini memberi kesan langsung kepada individu yang memiliki harta tersebut. Anak guam saya wajar diberi peluang mencelah bagi menjawab secara adil di mahkamah.
“Jika permohonan dibuat secara ex-parte, pihak kami tidak berpeluang melihat dokumen penuh dan memberi maklum balas sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Mahadi berhujah, jumlah aset yang disiasat melebihi RM1 bilion dan tindakan menghalang sebarang urus niaga adalah penting bagi mengelak pelupusan aset sebelum siasatan selesai dijalankan.
Katanya, afidavit sokongan yang difailkan oleh pihak pencelah (Na’imah) tidak menjelaskan kaitannya dengan aset-aset berkenaan dan peranannya dalam syarikat-syarikat terbabit juga tidak dinyatakan secara terperinci.
“Seseorang yang ingin menjadi pencelah perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa beliau mempunyai kepentingan undang-undang terhadap aset tersebut dan menunjukkan haknya akan terjejas oleh perintah mahkamah ini.
“Kami hanya mahu mengekalkan status quo sepanjang tempoh siasatan, dan sekiranya tiada kesalahan dikesan, permohonan ini akan dibatalkan,” katanya.
Mahadi menegaskan, tiada asas kukuh untuk Na’imah mencelah dalam permohonan berkenaan. – UTUSAN










