Permainan video kurikulum di Sekolah Menengah eSports Tokyo

Permainan video jadi kurikulum di Sekolah Menengah eSports Tokyo

Sekolah Menengah eSports di Tokyo menyediakan kemudahan dan suasana kelas yang lengkap dan menarik. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMAINAN video sering dilihat sebagai gangguan yang tidak sihat namun, sebuah sekolah di Jepun menjadikannya sebagai kurikulum penting untuk mengajar kemahiran berfikir secara kritis kepada pelajarnya.

Sekolah Menengah eSports di Tokyo adalah sebuah akademi swasta yang menggabungkan kelas permainan komputer intensif dengan pelajaran biasa seperti sejarah, matematik dan bahasa Jepun.

Sekolah ini juga membolehkan pelajar menghadiri kelas dari rumah secara dalam talian.

Pendekatan pengajaran yang tidak konvensional ini bertentangan dengan sistem pendidikan Jepun yang terkenal dengan ketegasan dan harapan tinggi dalam kalangan ibu bapa.

“Di sekolah sepenuh masa biasa, permainan biasanya dianggap buruk dan bukannya baik. Tetapi di sekolah kami, permainan bukan sekadar untuk hiburan. Ia membantu membangunkan kemahiran komunikasi antara pelajar.

“Jika seorang pelajar tidak gemar belajar kerana tekanan akademik, kami boleh galakkan mereka bermula dengan kelas permainan.

“Kami juga memantau dan menyokong pelajar supaya dapat membezakan antara permainan dan pembelajaran dengan memberi jadual harian yang teratur mengikut hari dalam seminggu,” kata Pengetuanya, Yoji Tsurunaga kepada ABC NEWS.

Idea di sebalik Sekolah Menengah eSports adalah untuk menyediakan tempat selamat bagi pelajar yang sukar menyesuaikan diri dan memastikan mereka terus bersekolah.

Daripada tempat duduk mereka, sekumpulan pelajar sekolah menengah itu bermain permainan bola sepak maya, menggunakan kereta untuk menggerakkan bola dan menjaringkan gol.

“Dalam kelas permainan video, kami mengajar strategi kemenangan, kemahiran penting dan cara berfikir yang diperlukan untuk berjaya. Kami membangunkan kebolehan mereka untuk berfikir,” jelas Tsurunaga.

Kajian menunjukkan pelajar di Jepun kerap berdepan tekanan yang besar untuk menyesuaikan diri dan menyerlahkan prestasi terbaik.

Walaupun pada waktu lapang, pembelajaran tambahan adalah perkara biasa, dengan kira-kira 70 peratus pelajar menghadiri pusat tuisyen selepas waktu sekolah pada satu ketika.

Tekanan ini menyebabkan fenomena yang dikenali sebagai school refusal atau keengganan hadir ke sekolah semakin meningkat sejak lebih dari satu dekad.

Data Kementerian Pendidikan menunjukkan lebih 67,782 pelajar sekolah menengah merekodkan jumlah kehadiran ‘kronik’ pada 2024, bermakna mereka tidak hadir sekurang-kurangnya 30 hari dalam setahun atas sebab selain penyakit atau kesulitan kewangan, hampir sama dengan rekod tahun sebelumnya sebanyak 68,770.

Jepun juga satu-satunya negara G7 di mana bunuh diri menjadi punca utama kematian bagi kanak-kanak berumur 10 hingga 19 tahun.

Tahun lalu, Jepun mencatatkan jumlah bunuh diri pelajar tertinggi sejak rekod bermula pada 1980, dengan 527 pelajar dari sekolah rendah hingga menengah.

Ahli Japan Research Institute, Mika Ikemoto berkata, sekolah sering berdepan masalah kebuntuan mekanisme untuk menjaga keperluan individu pelajar.

“Sesetengah kanak-kanak dapat memenuhi standard sekolah dengan mudah, tetapi bagi yang lain, tahap itu terlalu tinggi.

“Saya percaya menjadikan sekolah tempat selesa untuk semua kanak-kanak dan remaja masih kurang diterapkan dalam budaya sekolah di Jepun,” jelasnya.

Seorang pelajar, Hayate Ito berkata, dia merasa canggung di sekolah lamanya tetapi lebih yakin selepas berpindah ke sekolah eSports di Tokyo.

“Saya sangat lemah dalam pembelajaran dan ibu bapa saya sangat risau tentang hal ini. Mereka mencadangkan sekolah ini kepada saya.

“Daya tarikan sekolah ini sangat berbeza dengan sekolah tradisional yang hanya menumpukan pada pembelajaran. Sekolah ini membolehkan saya mengimbangi permainan dengan pelajaran yang membuat saya berasa lebih selesa,” katanya.

Sekolah tersebut juga mempunyai data untuk menyokong metodologi mereka.

Lebih 70 peratus pelajar mereka yang menamatkan persekolahan tahun lalu berjaya melanjutkan ke universiti dengan purata kebangsaan di seluruh Jepun sekitar 52.6 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×