Perhilitan Perak tangkap tujuh gajah liar - Utusan Malaysia

Perhilitan Perak tangkap tujuh gajah liar

DUA ekor gajah denak digunakan untuk menarik gajah liar yang ditangkap di Bersia Lama, Gerik hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap tujuh ekor gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk di kawasan Bersia Lama.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, konflik kawanan gajah itu mula dilaporkan sejak awal bulan lalu sebelum tangkapan dibuat secara berperingkat mulai Sabtu lalu.

Katanya, gajah dewasa yang ditangkap itu membabitkan dua ekor gajah jantan dan lima ekor gajah betina berusia antara 20 hingga 35 tahun.

“Untuk hari ini, dua ekor gajah dalam keadaan sihat itu akan dipindahkan ke kawasan habitat semula jadi yang lebih sesuai dan selamat.

“Operasi memindahkan gajah itu bermula pukul 9 pagi dengan disertai 10 kakitangan Perhilitan Perak dan 15 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang,” katanya di sini hari ini.

Dalam operasi berkenaan, khidmat dua gajah denak iaitu Abot dan Ceri digunakan untuk memujuk dan menarik keluar mamalia itu naik ke atas lori.

Difahamkan, baki gajah liar yang berjaya ditangkap akan dipindahkan secara berperingkat ke habitat selamat dalam masa terdekat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN