KUALA LUMPUR: Pelakon, Meerqeen, menjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai sedang melakukan persiapan berlakon dalam naskhah Hollywood hanya gurauan yang disalah tafsir.
Menurut Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 23, kenyataan yang dibuat ketika ditemu bual stesen radio Era itu tercetus secara spontan kerana pengendalinya, Fazziq Muqris, merupakan rakan baiknya.
“Mana ada saya nak pergi Hollywood, siapa cakap? Yang telefon saya itu Fazziq, jadi memang gurauan sesama kawan.
“Tapi kalau ada rezeki, sudah tentu saya tidak tolak. Itu impian semua pelakon. Namun buat masa ini, ia memang sekadar gurauan,” katanya.
Meerqeen ditemui media pada tayangan perdana filem Klepet di sini, semalam.
Bagaimanapun, bintang drama Melur Untuk Firdaus itu mengakui kini sibuk membuat persiapan untuk sebuah filem terbaharu yang belum boleh didedahkan judulnya.
“Banyak persediaan sedang saya lakukan untuk projek seterusnya, tetapi bukanlah filem Hollywood,” jelasnya.
Mengulas mengenai tindakannya ‘menghilang’ dari media sosial sebelum ini, Meerqeen berkata ia bukanlah disebabkan masalah peribadi atau mahu menjauhkan diri daripada peminat.
“Saya diam dan tidak berkongsi di media sosial bukan sebab mahu menyepi.
“Saya cuma mahu orang nampak perubahan diri saya sewaktu membawa watak baharu nanti. Saya mahu beri kejutan kepada peminat,” ujarnya.
Terdahulu, Meerqeen seolah-olah memberi bayangan bakal terlibat dalam sebuah projek Hollywood, menyebabkan ramai menyangka dia sedang membuat persiapan serius untuk peluang tersebut. -UTUSAN










