IPOH: Perak mahu menebus kehampaan setelah gagal mengutip mata penuh ketika menentang Bunga Raya FC minggu lalu apabila bertemu Imigresen FC II dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Kompleks Bola Sepak Perak di Chepor di sini esok.
Penolong Pengurus pasukan, Zainal Umar berkata, kegagalan mengutip mata penuh dalam perlawanan minggu lalu dianggap kegagalan besar kerana Perak dijangka meraih mata penuh tetapi perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
“Ia ternyata bukan hari kami. Segalanya tidak menjadi. Lawan pula menggunakan pendekatan berkesan untuk mengecewakan kami,” katanya.
Apapun Zainal mahu pemain Perak segera melupakan kekecewaan itu dan menumpukan perhatian pertemuan dengan Imigresen FC II esok.
Menurutnya, Perak perlu menang perlawanan itu bagi mengekalkan cabaran terhadap pendahulu liga.
“Kita tidak mampu keciciran mata kerana ini akan melebarkan jurang mata dengan pasukan teratas,” katanya.
Katanya, Perak tidak dapat menurunkan tiga pemain utama dalam perlawanan sebelum ini kerana menjalani hukuman setelah mengutip tiga kad kuning sewaktu bertemu Kedah FC.
Jelasnya, namun untuk aksi menentang Imigresen esok, Perak akan menurunkan kesebelasan utamanya.
“Semua pemain utama yang digantung boleh bermain semula. Ketika bertemu Bunga Raya minggu lalu, tiga pemain digantung.
“Harap pemain jangan buat kesilapan mudah yang akan merugikan pasukan. Kawal emosi. Kita risau pihak lawan akan melakukan provokasi untuk mengganggu rentak permainan kita, ” ujarnya. – UTUSAN










