IPOH: Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) merancang melaksanakan kajian risiko kemalangan dan bencana di semua kawasan pendakian bagi memastikan tragedi seperti insiden di Gunung Liang yang meragut nyawa seorang pendaki tidak berulang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian itu dilaksanakan bagi mengenal pasti kawasan berisiko serta menambah baik langkah pencegahan di lokasi pendakian seluruh negeri.
Katanya, penelitian turut dijalankan JPNPk terhadap penggunaan sistem pemantauan masa nyata di kawasan pendakian berisiko tinggi bagi meningkatkan kecekapan tindak balas sekiranya berlaku insiden tidak diingini.
“Sebagai langkah kawalan tambahan, JPNPk sedang melaksanakan kajian had daya tampung kawasan pendakian tumpuan di negeri Perak melalui peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT).
“Dua kajian telah disiapkan di Daerah Hutan Kinta/Manjung dan Perak Selatan, dua lagi sedang dijalankan di Hulu Perak dan Kuala Kangsar manakala satu lagi di Larut dan Matang dijadualkan pada tahun 2026.
“Kajian ini akan membantu kerajaan negeri menetapkan kuota pendaki yang dibenarkan pada satu-satu masa demi memastikan aktiviti pendakian dijalankan secara terkawal, selamat dan lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan M. Thulsi (Buntong-PH) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius kes kematian Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, di puncak Gunung Liang pada Oktober lalu dan siasatan sedang dijalankan ke atas 11 individu membabitkan dua malim gunung perhutanan dan sembilan pendaki.
Katanya, siasatan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 47(1), Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 bagi kesalahan memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) tanpa permit.
“Bagi memastikan keselamatan dan kawalan aktiviti, JPNPk telah menggubal prosedur operasi standard (SOP) pendakian HSK negeri Perak dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Malim Gunung Negeri Perak.
“SOP ini menjadi panduan utama dalam aspek pengurusan risiko, keselamatan, tindakan kecemasan serta tanggungjawab pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa perhutanan, pentadbir kawasan, malim gunung dan pendaki,” katanya.
Tambah beliau, di Perak, terdapat 55 kawasan pendakian yang berada dalam kawasan HSK.
Katanya, berdasarkan Seksyen 47(1)(c), setiap aktiviti pendakian di dalam HSK diwajibkan untuk memiliki Permit Memasuki HSK bagi membolehkan pemantauan bilangan pendaki dijalankan secara sistematik.
“Jika aktiviti pendakian pada ketinggian melebihi 500 meter, aktiviti pendakian perlu disertai Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang diiktiraf termasuk pemakaian dokumen prosedur SOP berkuat kuasa 1 Jun 2023,” katanya. – UTUSAN










